Elakkan meletak bahan-bahan ini dalam kereta anda

Elakkan meletak bahan-bahan ini dalam kereta anda


Kita biasa ternampak ada kereta terbakar secara tiba-tiba, sama ada di tengah jalan raya atau di tempat parkir kereta. Di antara punca-punca kebakaran kereta seperti tidak membuat pemeriksaan minyak enjin mengikuti jadual, mengubahsuai aksesori dalam kereta dan lain-lain.

Terdapat juga punca lain kebakaran kereta yang biasanya disebabkan oleh kecuaian pengguna sendiri yang sebenarnya ia dapat dielakkan.

Ada juga pemandu beranggapan kereta sebagai rumah bergerak bagi mereka. Ia menjadi satu kebiasaan bagi mereka yang suka meletak bahan-bahan yang biasa dipakai dalam seharian, namun sikap itu akan membawa padah terhadap kereta malah nyawa penumpang di dalamnya.

Salah satu punca yang menyebabkan kereta terbakar adalah meninggalkan bahan-bahan yang mudah terbakar di dalam kereta. Bahan-bahan tersebut terdedah di bawah pancaran matahari yang terik dengan masa yang lama, dan seterusnya ia menjadi panas dan terbakar di dalam kereta.


Mari kita lihat apakah bahan-bahan yang boleh menyebabkan kebakaran kereta.

1. Bateri Bergerak (Powerbank)

Powerbank lebih dikenali sebagai bateri bergerak atau pengecas mudah-alih dimana ia digunakan untuk mengecaj telefon bimbit dengan mudah tanpa perlu memasang wayar di soket elektrik. Ia memberi kemudahan kepada kita ketika telefon bimbit mengalami kekurangan bateri terutamanya waktu kecemasan.

Oleh itu, powerbank menjadi salah satu bahan penting bagi semua pengguna telefon bimbit. Hampir setiap orang akan memiliki dan menggunakannya setiap hari sama ada di dalam kereta ataupun semasa sedang membeli belah.

Setelah menggunakan powerbank, ramai akan meninggalkannya di dalam kereta. Mengikut buku panduan pengguna, powerbank tidak boleh digunakan atau disimpan di dalam suhu yang tinggi.

Bateri jenis Lithium adalah tidak bertahan dalam keadaan panas seperti kereta yang di bawah pancaran matahari dengan masa yang agak lama. Oleh itu risiko kebakaran powerbank itu akan bertambah tinggi, ada juga yang akan menyebabkan keletupan powerbank itu terutamanya powerbank tiada kualiti yang dijual dalam pasaran.

2. Pemetik Api (Lighter)

Bagi sesiapa yang suka merokok, pastikan pemetik api tidak ditinggalkan di dalam kereta. Jika anda suka meninggalkan pemetik api di dalam kereta maka perlu lebih berhati-hati.

Maklumlah cuaca di negara kita panas terik sepanjang tahun. Bagi mereka  yang meletak kereta di tempat parkir yang terbuka, maka suhu di dalam kereta itu boleh meningkat mencecah sehingga 50°C.

Suhu yang amat panas itu akan menyebabkan gas di dalam pemetik api berkembang dan mudah meletup. Seterusnya ia akan membakar bahagian dalam kereta seperti dashboard atau kerusi duduk.

3. Minyak Wangi

Minyak wangi atau perfume merupakan bahan keperluan bukan sahaja bagi wanita malah lelaki juga gemar menggunakanya. Biasanya minyak wangi adalah selamat disimpan di bawah suhu 45°C.

Kebanyakan minyak wangi dibuat dengan campuran alkohol sama ada kandungan tinggi atau kurang, ia tetap mempunyai tahap yang mampu menyebabkan ia terbakar sendiri. Bahan-bahan kimia dalam minyak wangi akan bertindak balas dengan suhu yang panas, dan seterusnya menghasilkan api.

Adalah dinasihatkan supaya jangan menyimpan minyak wangi di dalam kereta anda terutamanya di bawah matahari yang panas.

4. Cermin Mata / Kanta Pembesar

Untuk pengetahuan semua, cermin mata yang biasa dipakai oleh kita merupakan sejenis kanta atau lensa. Kanta itu merupakan sejenis alat sama ada untuk menumpukan atau untuk menyerapkan cahaya. Biasanya ia diperbuat daripada kaca dan mempunyai struktur berbentuk dua kelengkungan di kedua-dua permukaan depan dan belakang.

Jika anda suka meletak cermin mata anda pada permukaan dashboard atau kerusi duduk. Terdapat pemandu yang suka mengamalkan kebiasaan meletak cermin mata di kerusi duduk setelah mereka sampai ke destinasi mereka. Jika kereta diletak di bawah pancaran matahari dengan masa yang lama, ia boleh membawa kebakaran terhadap kereta anda.

Cahaya atau haba daripada matahari akan melalui kanta cembung pada cermin mata dan tertumpu pada satu titik tumpuan. Dengan masa yang lama, titik tumpuan itu akan menjadi semakin panas dan seterusnya akan membakar dashboard, kertas dokumen atau kerusi duduk kereta anda.

Kanta pembesar juga akan memberi kesan yang sama dengan cermin mata.

5. Cecair Sanitasi Tangan (Hand Sanitiser)

Pada musim sekarang pandemik Covid-19, ramai orang digalakkan supaya selalu mencuci tangan atau membersihkan tangan. Oleh demikian, ramai orang telah menyediakan hand sanitiser iaitu cecair sanitasi tangan di sisi badan kita.

Ada juga yang menyediakan cecair sanitasi itu di dalam kereta terutamanya bagi pemandu e-hailing. Mereka merupakan salah satu barisan hadapan yang terdedah dalam risiko Covid-19. Cecair sanitasi amat penting untuk mengelapkan permukaan di pintu dan kerusi duduk penumpang.

Namun kandungan kebanyakan cecair sanitasi tangan itu terdiri daripada alkohol sama ada kandungan banyak atau sedikit. Setahu kita alkohol adalah bahan mudah terbakar.

Baru-baru ini, terdapat banyak kes kereta terbakar adalah disebabkan oleh cecair sanitasi tangan. Oleh itu, adalah tidak digalakkan meletak cecair sanitasi tangan di dalam kereta anda terutamanya di bawah pancaran matahari.

6. Minuman Berkarbonat

Minuman berkarbonat terdiri daripada gas karbon dioksida. Terdedah di bawah pancaran matahari dengan masa yang lama akan menyebabkan tin minuman tersebut berkembang dan meletup. Kemungkinan lain yang lebih teruk ialah boleh menyebabkan berlakunya kebakaran di dalam kereta.