Hukum Seorang Isteri Menyesali Perkahwinannya

Hukum Seorang Isteri Menyesali Perkahwinannya


Apakah hukum sekiranya seorang isteri itu menyesali akan perkahwinannya apabila perangai suaminya yang  telah leka dengan hal dunia. Si suami juga jarang-jarang sembahyang dan berpuasa.

Biasanya perasaan menyesal itu datang apabila seorang isteri mengharapkan si suami boleh membimbingnya dan anak-anak mereka bukan setakat duniawi malahan akhirat. Akan tetapi harapan isteri terhadap suaminya menjadi kosong.

Menurut pandangan Islam, sebagai seorang suami haruslah bertanggungjawab dalam menjadi seorang ketua keluarga. Suami perlu menunjukkan teladan baik dan memberi bimbingan kepada isteri dan anak-anaknya. Namun begitu sebagai seorang isteri yang bertanggungjawab dan sebagai isteri yang solehah, maka harus menjurus kepada memenuhi hak-hak seorang suami. Bukanlah setakat tahu menguruskan urusan hal rumahtangga semata-mata.

Kegagalan seorang suami itu melaksanakan tanggungjawabnya adalah sebahagian dari kerosakan rumahtangga yang harus dibaiki dengan segera. Punca utamanya adalah disebabkan suami tidak memainkan peranannya sebagai seorang ketua keluarga. Inilah sebabnya kenapa Islam menyuruh seseorang itu memilih suami yang beragama, bukannya setakat hensem sahaja.

Tidak wajar menyesali tentang perkahwinan

Tidak wajar seorang isteri itu menyesali tentang perkahwinannya dengan seseorang khususnya apabila suami diharapkan itu tidak melaksanakan tugasnya dengan baik. Ini kerana sebuah perkahwinan itu bukanlah satu kesalahan, yang bersalah ialah suami yang dipilih itu tidak melaksanakan tanggungjawabnya.

Oleh itu, tidak wajar bagi seorang isteri melahirkan penyesalannya kerana berkahwin dengan suami sedemikian. Sebaliknya hendaklah berusaha dengan cara yang halus dan teliti bagi menyedarkan suami tersebut. Contohnya seperti, menunaikan Solat Hajat, meminta nasihat dari orang yang berilmu, membuat aduan kepada Qadi dan lain-lain.

Ini adalah bertujuan bagi mendapatkan ayat atau kaedah yang sesuai untuk digunakan bagi mendorong suami tersebut supaya sentiasa mengingati Allah.

Selain itu, isteri yang mempunyai masalah rumah tangga boleh meminta pandangan dan nasihat daripada para ulama, ibu dan ayah, saudara mara yang amanah serta rakan-rakan yang dipercayai. Cara yang terakhir jika masih belum menemui jalan penyelesaian adalah dengan merujuk kepada peguam, mahkamah syariah dan sebagainya.

Kami berpendapat bahawa amat penting untuk belajar serta mendalami hukum-hakam berkaitan perkahwinan terlebih dahulu sebelum berlangsungnya perkahwinan. Begitu juga, kami mengambil peluang di sini untuk menasihati agar berbincanglah dengan baik setiap permasalahan yang timbul dan mohonlah kepada Allah SWT agar diberi pertolongan dalam menyelesaikan konflik yang berlaku.