Seorang saudara baharu menyifatkan adiknya sebagai pencetus rahmat sehingga menyebabkan hatinya terbuka untuk menerima Islam.
Chan Bee Bee, 43 tahun berkata sebelum ini beliau sangat prejvdis dengan Islam walaupun semua adik-beradiknya sudah memeluk agama berkenaan kerana mendakwa masih samar mengenai Islam.
Bee Bee yang memeluk Islam sejak empat bulan lalu dan menggunakan nama baharu, Nur Shahfiqah Chan Abdullah berkata, adiknya Nur Fahimah Chan, 36 tahun adalah individu yang banyak membantunya dalam mendekati Islam walaupun sebelum ini beliau pernah menolak pelawaan untuk memeluk agama berkenaan.
“Pertemuan semula saya dengan adik kandung umpama rahmat buat saya, kerana beliau sering memujuk saya untuk memeluk Islam. Namun pada awalnya saya menolak kerana masih tidak dapat mendalami agama berkenaan selain terpengaruh dengan pelbagai tanggapan buruk mengenai Islam sebelum ini.
“Kami empat beradik dibesarkan di rumah anak yatim dan saya dikelilingi oleh rakan Melayu yang beragama Islam dan sejak kecil saya belajar dan mendalami Islam, namun hati saya tidak pernah terbuka untuk memeluk agama Islam.
“Namun, inilah dikatakan hidayah dan saya bersyukur kerana dapat memeluk Islam walaupun pada usia 43 tahun,” katanya.
Menceritakan mengenai kisah hidupnya, Nur Shahfiqah berkata, mereka empat beradik termasuk dua abang dan seorang adik perempuannya tinggal di rumah anak yatim sejak kecil berikutan kesempitan hidup.
Namun, semua mereka terpisah ketika masih kanak-kanak kerana ditempatkan di rumah anak yatim berlainan dan terputus hubungan dengan semua saudara kandungnya itu sehingga masing-masing memasuki alam pekerjaan.
“Namun, pertemuan semula saya dan adik bongsu kira-kira 15 tahun lalu berjaya menyatukan kembali hubungan kami empat beradik dan ketika itu barulah saya tahu bahawa semua adik-beradik saya sudah memeluk Islam dan berkahwin dengan orang Melayu.
“Ketika itu saya masih beragama Bvddha dan tidak terlintas langsung untuk bertukar agama walaupun dipujuk oleh Nur Fahimah, kerana saya tidak nampak ‘keistimewaan’ Islam pada masa berkenaan. Namun Nur Fahimah tidak pernah mengalah beliau terus memujuk saya termasuk menggunakan pendekatan halus dengan bersembahyang ketika berkunjung ke rumah saya,” katanya.
Nur Shahfiqah berkata, walaupun beliau beragama Bvddha, beliau tidak pernah bersembahyang atau menyimpan tok0ng di rumahnya kerana mengakui masih mencari-cari agama yang sebenar.
Beliau yang fasih berbahasa Melayu berkata, sebelum ini beliau sudah lama membaca buku mengenai Islam dan agama lain, namun hatinya belum terbuka untuk memeluk agama berkenaan.
“Semuanya bermula secara tiba-tiba dan sukar untuk saya ceritakan bagaimana saya mendapat hidayah untuk memeluk Islam. Ketika itu fikiran saya berserabut dan biasanya saya akan mengunjungi pusat karaoke atau berhibur bersama kawan-kawan untuk menghilangkan tekanan.
“Walaupun sudah berhibur, hati saya masih resah dan sedih tanpa sebab, dan apa yang saya ingat ketika itu saya memandang keindahan langit. Tiba-tiba timbul rasa kagum dan persoalan dalam diri saya siapa penciptaNya dan pastinya Tuhan yang mencipta itu mempunyai kuasa yang bukan calang-calang,” katanya.
Beliau berkata, beliau terus menghubungi Nur Fahimah yang menetap di Kuala Lumpur memaklumkan hasratnya untuk memeluk Islam dan meminta adiknya mengajarkannya solat.
“Selepas berpisah dengan suami, saya tinggal bersama dua anak perempuan saya berusia 10 tahun dan 14 tahun selain emak, Wong Sooi Thai, 68 tahun di Bukit Mertajam. Walaupun emak saya beragama Bvddha, beliau menerima penghijrahan saya sebagai seorang Islam dengan baik.
“Malah, dua anak saya juga berminat untuk memeluk Islam kerana melihat perubahan positif saya dari aspek akhlak dan cara hidup. Saya bersyukur kerana kedua-dua mereka turut mengikut jejak langkah saya memeluk Islam.
“Adik saya gembira dengan berita itu dan berjanji akan berusaha membimbing saya untuk memeluk Islam dan menjadi muslim sejati. Namun, saya jelaskan yang saya tidak mahu perubahan drastik kerana saya masih belajar dan mendalami agama ini” katanya.
Nur Shahfiqah berkata, selepas empat bulan memeluk Islam hatinya semakin tenang dan mengakui bahawa Islam itu indah namun ada segelintir pihak yang membuatkan imej Islam itu sebagai agama yang terlalu riigid dan ‘berat’.
Dalam pada itu, Nur Shahfiqah berkata, kehadiran NGO dakwah seperti myIKUT sangat bermakna khususnya kepada saudara baharu yang masih belum faham mengenai Islam secara mendalam.
“Komuniti mualaf ini memerlukan tempat rujukan bukan saja dalam soal agama tetapi pembangunan sosioekonomi dan perlindungan. Justeru, kewujudan NGO seperti myIKUT ini sangat membantu mualaf terutama kepada mereka yang masih baharu untuk menyesuaikan diri dengan Islam.
“Malah, kami juga memerlukan bimbingan kaunseling untuk menghadapi cabaran hidup selepas memeluk Islam terutama penerimaan keluarga, rakan dan masyarakat sekeliling termasuk di kalangan umat Islam sendiri,” katanya.
Nur Shahfiqah berkata, beliau bersyukur kerana rakan dan keluarga menerima dirinya walaupun kini beliau sudah beragama Islam selain menjelaskan tidak mahu melakukan perubahan drastik kerana masih menyesuaikan diri dengan Islam.
INFO BERKENAAN NUR SYAFIKAH
– Nur Shahfiqah empat beradik termasuk dua abang dan seorang adik perempuannya tinggal di rumah anak yatim sejak kecil berikutan kesempitan hidup.
– Hatinya semakin tenang selepas empat bulan memeluk Islam.
– Tercetus persoalan siapa pencipta selepas memandang langit.
myIKUT SEBAR DAKWAH KEPADA SAUDARA BAHARU
“Aku mengaku tiada tuhan melainkan Allah dan aku mengaku Nabi Muhammad pesuruh Allah,” lafaz dua beradik perempuan berusia 10 tahun dan 14 tahun.
Mereka melafazkan syahadah di hadapan ibu mereka, Nur Shahfikah Chan Abdullah, 43 tahun dengan disaksikan ahli jawatankuasa Persatuan Infaq Kebajikan Ummah Takaful Pulau Pinang atau myIKUT.
Itulah antara misi dan visi myIKUT, membimbing individu yang berminat mendalami Islam sehingga melafazkan syahadah, memartabatkan golongan saudara baharu serta mengurangkan dan membasmi kes murtad dalam kalangan mualaf.
Pengerusinya, Muhammad Nur Azley Stanley Muhammad Savarimuthu, 43 tahun berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan sejak 2014 itu aktif dalam usaha dakwah, terutama membimbing saudara baharu di samping mendekati individu yang berminat memeluk Islam, tetapi masih ‘kabur’ dengan keputusan yang mahu diambil.
Muhammad yang sebelum ini beragama Kristi4n berkata, fokus myIKUT adalah berkongsi ilmu mengenai Islam kepada orang bukan Islam, selain mengubah perspektif negatif mereka terhadap agama berkenaan.
“Saya sendiri adalah mualaf. Selama 23 tahun, saya beragama Kristian. Perkahwinan bersama isteri yang beragama Islam menyebabkan saya terpaksa memeluk Islam, walaupun pada awalnya tidak sepenuh hati.
“Saya kemudian ‘jatuh hati’ pada Islam dan percaya ini adalah hidayah yang diberikan Allah. Justeru, daripada niat ‘sekadar syarat’, saya kini berubah dan aktif berdakwah kepada golongan mualaf selain turut dijemput berkongsi pengalaman,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Muhammad berkata, peranan myIKUT bukan hanya berdakwah, sebaliknya berperanan mewujudkan komuniti mualaf yang berdaya tahan dan membimbing mereka supaya tidak berasa terpinggir.
“Sehingga kini, myIKUT sudah membawa kira-kira 80 individu yang kebanyakannya penduduk Pulau Pinang memeluk Islam. Walaupun ia bukan jumlah yang besar, yang penting ialah penyampaian dakwah itu sampai kepada golongan sasar dan mereka terus kekal sebagai muslim.
“Pendekatan kita ialah menggunakan konsep ‘dakwah jalanan’ dan penerimaan masyarakat terhadap myIKUT sangat baik kerana mereka lebih mudah menerima program berorientasikan perkongsian yang diterapkan myIKUT,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Nur Azley berkata, ketika ini 30 masjid di Pulau Pinang menjadi ‘Rakan myIKUT’ yang berperanan menyebarkan dakwah kepada saudara baharu.
“Kebanyakan saudara baharu akan berdepan permasalahan rutin antaranya, penerimaan keluarga, rakan sekerja dan cabaran untuk menyesuaikan diri dengan Islam apabila memeluk agama berkenaan.
“Oleh kerana Islam agama mudah, maka kita permudahkan urusan saudara baharu melalui projek Home Kuliah dengan tenaga pakar secara sukarela daripada guru agama untuk membimbing mereka supaya tidak berasa terbeban,” katanya.
Beliau berkata, selaras pengertian dakwah pihaknya menggunakan konsep berinteraksi, dialog, saling empati dengan masyarakat dan sebarkan Islam sebagai agama yang mementingkan kasih sayang, walaupun berbeza warna kulit dan agama.
“Bagi saya orang bukan Islam sudah tahu mengenai Islam, cuma kita yang beragama Islam ini tidak tahu kaedah untuk berkongsi kasih sayang mengenai Islam sehingga sering kali agama ini disalah erti.
“Justeru, kita mewujudkan satu platform dakwah menggunakan media baru seperti Facebook untuk membuka ruang kepada mereka yang berminat mendalami Islam tetapi masih ‘samar’ atau mereka yang mahu memeluk Islam tetapi tidak tahu cara yang bersesuaian kepada golongan ini,” katanya.
Sementara itu, Penaung myIKUT, Zolkifli Md Lazim berkata, proses melafazkan syahadah dalam kalangan saudara baharu dijalankan sendiri oleh pihaknya sebelum mualaf berkenaan dibawa ke jabatan agama untuk tujuan pengesahan sudah memeluk Islam.
“Biasanya sebelum melafaz syahadah individu berkenaan akan diberi taklimat ringkas mengenai pengucapan syahadah. Kita tidak pernah menggunakan unsur paksaan malah sekiranya mereka masih ragu-ragu dengan keputusan yang diambil kita tidak meneruskannya (melafaz syahadah).
“Hakikatnya saudara baharu wajar dilihat sebagai insan yang terpilih dan kehadiran mereka tidak wajar dilihat seolah-olah menyusahkan pihak tertentu,” katanya.
Sumber BH
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.