Cara menyediakan Roti Bakar Rangup Bermadu Keemasan

Cara menyediakan Roti Bakar Rangup Bermadu Keemasan

Roti bakar rangup yang disaluti gula dan madu, sekali makan pasti nak lagi.
Sarapan pagi ini sesuai untuk mereka yang ingin mengejar masa. Ia mudah dibuat dan cepat disediakan untuk anak-anak yang nak pergi bersekolah dan hubby yang nak pergi bekerja.


Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Roti 3 keping
  • 8 sudu besar marjerin
  • 1 sudu besar madu
  • Berus pastri untuk menyapu permukaan roti
  • Gula pasir yang mencukupi
  • Kertas minyak / baking paper
  • Dulang oven
Cara menyediakan Roti Bakar Rangup Bermadu Keemasan mengikut langkah-langkah berikut:

1. Sediakan 3 keping roti, setiap keping dipotong kepada 4 bahagian segitiga seperti gambar di atas. Lapiskan sekeping kertas minyak (baking paper) di atas dulang, susunkan semua roti di atas dulang itu.
2. Sediakan marjerin yang cair di dalam mangkuk kecil.
3. Tambahkan madu ke dalam marjerin dan digaulkan sebati.


4. Sapukan marjerin ke atas permukaan roti dengan menggunakan berus pastri. Pastikan marjerin disapu dengan serata supaya permukaan roti akan kelihatan warna keemasan selepas dipanaskan nanti.
5. Taburkan gula pasir ke atas permukaan roti yang siap disapu marjerin itu. Kandungan gula pasir terpulang kepada citarasa masing-masing, ada yang suka manis, sebaliknya ada yang tidak.
6. Masukkan dulang itu ke dalam oven dan dipanaskan sehingga 200°C selama 20 minit.
7. Keluarkan dulang dan dibiarkan sejuk selama 5 minit, susunkan roti yang siap dibakar di atas pinggan.
8. Hidangkan roti bakar rangup bermadu keemasan itu bersama segelas susu segar.

Baca lagi : Juadah ramadhan Restoran Rasamas di Sungai Buloh

Di sini kami ingin mengingatkan supaya makan manis dengan berkurangan, demi kesihatan anda. Kepada sesiapa yang menghidapi penyakit diabetes, sila kurangkan kandungan gula ke atas permukaan roti tersebut.

Anda juga boleh menggantikan gula pasir dengan bijirin oat atau biji bijan putih.
Selamat menjamu selera untuk breakfast anda.