Resepi goreng kaki ayam yang amat mudah disediakan
Ia membuat saya terfikir satu resepi yang dimasak oleh mak ketika saya masa kecil. Saya bersama kakak sering membantu mak membuat kerja rumah seperti menyapu dan mop lantai, cuci pinggan dan sidai baju. Yang cuci baju itu kerja orang dewasa, sebab masa tu belum ada washing mesin kat rumah lagi.
Sebagai ganjaran, mak selalu akan goreng kaki ayam untuk kami berdua sambil menonton TV yang berwarna hitam-putih. Masa tu keluarga saya boleh dikatakan agak miskin, tinggal di rumah papan saja.
Kaki ayam masa tu diberi oleh jiran kami, seorang pakcik yang menjual ayam. Kaki ayam boleh dikatakan tiada permintaan, dan harga pasaran pun agak rendah iaitu 10 sen satu pek besar (lebih kurang 15 biji). Oleh itu pakcik itu selalu bawa balik dan bagi kami, baik daripada buang sia-sia saja.
Mak pun jadikan kaki ayam tu sebagai resepi makanan ringan untuk mengisi perut sementara menunggu masakan malam siap. Mari kita lihat cara-cara membuat resepi untuk memasak kaki ayam.
Bahan-bahan:
- Kaki ayam lebih kurang 10 biji yang dibuang kuku dan dibasuh bersih
- Tepung gandum 6 sudu besar (untuk menyalut kaki ayam semasa goreng)
- Tepung gandum 2 sudu besar (untuk memerap sekali serbuk lada)
- Serbuk lada hitam - 2 sudu teh
- Serbuk lada putih - 1 sudu teh
- Serbuk kari - 1 sudu besar (optional saja, tak nak pun tak apa)
- Minyak masak - cukup untuk menggoreng
- Kicap cair 5 sudu besar
- Garam halus 1 sudu besar
Bahan-baham untuk memerap kaki ayam
Cara menyediakan seperti berikut:
1. Campurkan 5 sudu kicap cair dengan 1 sudu besar garam halus di dalam mangkuk besar.
2. Masukkan kaki ayam ke dalam mangkuk dan gaulkan dengan serata.
1. Campurkan 5 sudu kicap cair dengan 1 sudu besar garam halus di dalam mangkuk besar.
2. Masukkan kaki ayam ke dalam mangkuk dan gaulkan dengan serata.
3. Campurkan 2 sudu tepung gandum, serbuk lada hitam dan serbuk lada putih ke dalam. Gaulkan serata sekali lagi dengan tangan. (Jika nak rasa pedas sikit, masukkan serbuk kari ke dalam campuran itu dan digaulkan sekali. Jika ada yang tak suka pedas, boleh skip langkah serbuk kari tu). Kemudian dibiarkan campuran itu diperap selama 10 minit.
4. Letakkan kaki ayam sedikit demi sedikit ke dalam mangkuk tadi yang mengandungi tepung tersebut, digaulkan serata sekali lagi. Pastikan kaki ayam melekat dengan tepung sepenuhnya.
5. Panaskan minyak masak dengan api sederhana selama 5 minit, pastikan minyak adalah panas dan sesuai untuk menggoreng. Masukkan satu demi satu kaki ayam tersebut ke dalam kuali, gorengkan kesemuanya selama 15 minit.
6. Pastikan sentiasa mengacau kaki ayam tersebut supaya tidak melekat antara satu sama lain. Angkat sedikit demi sedikit kaki ayam yang siap digoreng itu dan ditoskan kering. Letakkan di atas pinggan yang kering dan dibiarkan sejuk. Ingat, kaki ayam sesuai dan lebih sedap dimakan semasa masih panas.
Selepas beberapa minit disejukkan, kaki ayam boleh dimakan sekali dengan sos cili atau dimakan begitu sahaja sambil menonton program TV yang menarik bersama keluarga. Selamat menjamu selera dengan resepi yang amat mudah ni.