Rezeki 3,000 Parcel Sehari, Bermodal Rm300 Selepas Bersalin Wanita Ini Jual Kek Tapak Kuda

 

BAGI yang mengikuti laman sosial TikTok tentunya pernah menyaksikan perkongsian wanita muda ini, Auni Aufiyah See Abdullah, 25.

Mesra membahasakan diri sebagai Auni, content creator TikTok ini sering muncul di For Your Page (FYP) penulis.

Siapa sangka berbekalkan minat dan modal sebanyak RM300, dalam masa tiga tahun suri rumah tangga berasal dari Sabah ini berjaya mengubah nasib diri serta keluarga.

Bermula dengan operasi di dapur sendiri, Kek Tapak Kuda Dapur Azra kini sudah mampu meluaskan pasaran secara offline dan online dengan jumlah 3,089 bungkusan kek mencecah sehari.

Malah perniagaannya itu kini berkembang sebagai pusat sehenti pencuci mulut di 9A, Persiaran Mutiara, Slim River, Perak.

Tiga tahun mengikuti secara maya, penulis rasa bertuah kerana berpeluang menemuramah dan mengajukan sendiri soalan kepada usahawan hebat ini.

Kongsi Auni, segalanya bermula semasa hamil yang mana beliau mengidam untuk memakan kek tapak kuda. Bagaimanapun, kek gulung berinti coklat kacang hazel ketika itu sangat sukar didapati di Perak.

“Saya berpindah ke Perak selepas berkahwin. Di Sabah, kek tapak kuda menu popular pada hari raya. Dek kerana teringin dan sukar mendapatkannya di Perak, maka saya belajar untuk membuatnya sendiri,” ujar Auni.

Selepas bersalin, beliau menerima tempahan permulaan sebanyak dua biji kek daripada jiran. Hari demi hari, permintaan kek tradisi Sabah itu semakin bertambah sementalah Auni juga mempromosikannya di laman sosial Facebook peribadi.

MODAL RM300 HADIAH DARIPADA SUAMI

Semakin bersemangat, Auni menjadikan wang pemberian suami sempena anniversary pertama sebanyak RM300 sebagai modal untuk membeli bahan-bahan dan sebuah mesin pengadun.

“Menerima komen positif daripada pelanggan, saya mula menjual menerusi TikTok dengan meletakkan link WhatsApp di ruangan bio.

“Ketika itu TikTok Shop tidak membenarkan produk makanan. Selepas betul-betul mendapat kelulusan, pada Disember 2022 Kek Tapak Kuda Dapur Azra rasminya dijual menerusi beg kuning di TikTok Shop,” ujarnya.

LAPAN VARIASI

Biarpun tidak memiliki pendidikan formal dalam bidang bakeri, wanita ini gigih mencipta resipi kek tersebut sendiri menerusi eksperimen dan R&D.

“Air tangan ALLAH bagi mungkin menjadikan ia berbeza. Selain kek tapak kuda yang asli, Auni menjual lapan variasi untuk jualan dalam talian iaitu crunchy nutella, nutella peanut, nutella crunchy, matcha crunchy dan nutella banjir,” ujarnya.

Selain kek tapak kuda pelbagai perisa, Auni turut menjual kek keju mangga. Ia baru-baru ini viral seelpas Auni berkongsi rezeki dengan pelanggan dengan meletakkan wang di dalam kek tersebut.

PERANCANGAN

Melihat masa depan perniagaan yang cerah, Auni mahu membawa jenamanya mengorak langkah lebih jauh dengan membuka premis yang lebih besar dalam masa enam tahun lagi. Usahawan ini mahu berkongsi rezeki dengan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Dahulu ada yang mempersoalkan jaminan pekerja saya yang dikatakan tiada masa depan kerana diberi gaji hari. Saya ingin membuktikan perniagaan ini mampu mengubah taraf hidup mereka ke arah lebih, mampu membeli kenderaan dan kediaman sendiri,”kongsi Auni yang tidak culas menjaga kebajikan 26 kakitangannya.

NASIHAT

Kepada wanita yang ingin menceburi perniagaan makanan, Auni sempat menitipkan nasihat berguna. Ujarnya, pertama sekali, usahawan perlu memilih item jualan yang diminati supaya tidak lekas bosan.

“Buat sampai jadi. Jika anda bermula dari rumah, jangan jadikan gelaran dan tanggungjawab sebagai suri rumah sebagai alasan.

“Orang kurang upaya pun bekerja. Jadi, selagi diberikan kudrat dan kesempurnaan anggota kaki dan tangan, berjuanglah.

“Wanita juga jangan terlalu bergantung kepada suami. Berusaha menjana pendapatan sendiri,” ujar Auni.

Melalui cabaran dunia perniagaan menjadi lumrah orang berniaga. Auni menyifatkan suaminya, Muhamad Zafifi Zainudin, 29, sebagai penyokong kuat.

“Suamilah yang selalu ada di belakang tabir Kek Tapak Kuda Dapur Azra sejak awal lagi. Dia yang bantu setiap kali Auni ingin menambah stok bahan mentah. Kami menaiki motosikal kerana tiada kereta,” ujarnya.

Syabas dan tahniah buat Auni kerana dapat memanfaatkan usia mudanya dengan berniaga. Semoga kisah kejayaan wanita ini menjadi inspirasi kaum Hawa.

Sumber SP

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.