Guna Kayu-Kayan Hutan Naikkan Seri Rumah Allah, Keindahan Seni Reka Masjid Iktikaf Darul Quwwah Pukau Pandangan

 

MASJID kayu yang tersergam indah menghiasi ruang hadapan Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah di Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan pasti akan membuatkan sesiapa melihatnya tertawan, selain menerbitkan rasa keinsafan.

Uniknya, rumah ALLAH yang diberi nama Masjid Iktikaf Darul Quwwah itu diperbuat daripada 100 peratus kayu hutan yang diambil di sekitar Bachok.

Secara keseluruhannya, sebanyak 11 jenis kayu digunakan seperti tembusu, jati, kelat, manggis, jempal dan mahogani.

Mudir Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah, Ustaz Mohd Fikri Mohd Kassim berkata, masjid seluas lebih 134 meter persegi dan setinggi 6.1 meter itu, mempunyai reka bentuk tangga yang unik. Ia mula dibina pada tahun 2020.

“Sebenarnya saya sangat meminati seni kayu-kayan dan berimpian mahu membina sebuah masjid yang diperbuat daripada kayu bagi menaikkan lagi nilai estetika sebuah tempat solat dan pusat dakwah.

MASJID IKTIKAF

“Alhamdulillah, ALLAH datangkan seorang sahabat yang berhati mulia yang membantu membina masjid ini menggunakan kudrat beliau sendiri,” katanya ketika ditemui SinarPlus sempena Program Xpresi Media Cuti-Cuti Malaysia 2023 baru-baru ini.

Masjid Iktikaf Darul Quwwah kini telah dipilih menjadi produk pelancongan Islamik terbaharu di Kelantan.

MASJID IKTIKAF

Bercerita lanjut, Ustaz Mohd Fikri berkata, pemilihan kayu tembusu yang bermutu menjadi pilihan utama mereka memandangkan spesies itu merupakan antara sumber hutan paling tahan lasak.

“Kayu tembusu dijadikan sebagai tunjang utama struktur masjid ini. Kami turut gabungkan dengan kayu lain yang sememangnya kuat, andal dan berkualiti tinggi,” kata anak jati Kelantan itu.

Dimaklumkan, proses pembinaan rumah ibadat itu yang memakan masa lapan bulan diketuai oleh seorang tukang kayu yang juga saudagar perabot, Muhamad Amin Mat Jusoh.

Sepanjang tempoh berkenaan, kerja-kerja pemasangan kayu yang menggunakan kaedah tanggam dan paku dilakukan dari waktu malam hingga menjelang Subuh.

Ujar Mohd Fikri, semua idea diilhamkan sendiri oleh Muhammad Amin. Kerja pembinaan dibuatnya secara tradisional sambil dibantu dua pekerja.

MASJID IKTIKAF

“Kalau ditanya soal kos, saya hanya ada RM23,000 sahaja sebagai modal untuk membina masjid yang dianggarkan bernilai lebih RM500,000.

“Setakat ini, pihak kami baru melangsaikan perbelanjaan sebanyak RM108,000 sahaja. Pun demikian, tukang kayu tak berkira sekali pun dan tetap membina masjid seperti yang kami impikan. Meskipun tanpa pelan, namun desain sangat puas hati,” katanya yang masih menambah baik kemudahan masjid untuk keselesaan lebih kurang 150 kariah.

MASJID IKTIKAF

Selain mengutamakan prasarana masjid kayu, Ustaz Mohd Fikri turut merencana untuk menaik taraf Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah yang dikelolakannya sekarang.

Beliau akui, sebelum ini projek pusat pengajian tersebut tergendala lebih 20 tahun lamanya lantaran sibuk dengan urusan perniagaan, ditambah lagi dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dugaan berkenaan benar-benar mengubah hidup saya dan membuatkan diri ini lebih dekat dengan ILAHI. Jadi, masa PKP itulah saya beriltizam untuk membangunkan maahad itu.

MASJID IKTIKAF

“Sebab saya percaya pusat ilmiah inilah tempat terbaik untuk saya bangunkan demi masa depan anak-anak yatim, fakir miskin dan penduduk setempat,” ujarnya sambil memberitahu, Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah kini hanya boleh memuatkan seramai 20 pelajar sahaja di antara usia 10 tahun hingga 16 tahun.

Misi Ustaz Mohd Fikri seterusnya adalah untuk meluaskan ruang maahad dan menambah bilangan murid agar kesemuanya celik al-Quran.

Semua itu memerlukan kos yang tinggi. Setakat ini, dana banyak disumbangkan oleh rakan-rakannya yang prihatin.

MASJID IKTIKAF

“Saya juga bersyukur dengan adanya Masjid Iktikaf Darul Quwwah yang terletak bersebelahan mendorong orang ramai datang solat sambil menghulurkan bantuan.

“Saya percaya dan yakin rezeki maahad ini sangat luas. Meskipun tiada penajaan tetap daripada mana-mana pihak, namun sumbangan orang ramai sangat membantu,” tuturnya.

Sumber Sinar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.