‘Air Tangan Penambat Hati’ - Usah Tolak Mentah-mentah Jodoh Pilihan Ibu Bapa, Ikut Cara Yang Pakar Ini Kongsikan

 

MUNGKIN kedengaran sedikit lucu, namun tidak dinafikan masih wujud lagi konsep  perkahwinan yang ditentukan oleh ibu bapa pada zaman yang serba moden ini.

Jika dahulu, situasi itu merupakan satu perkara biasa. Masakan tidak, bersua muka antara satu sama lain pun sukar, inikan pula mahu pergi dating.

Namun begitu, saya berpandangan perkara sedemikian tidak mustahil berlaku. Ini kerana masih ada lagi ibu bapa yang berusaha mencari jodoh buat zuriat mereka.

wedding

 Tidak kiralah untuk anak lelaki atau anak perempuan. Persoalannya, adakah si anak wajib menerima jodoh pilihan yang ditentukan?

Perlu difahami, memilih jodoh adalah hak individu. Hatta dalam syariat sekalipun, ada istilah wali mujbir buat anak gadis, yakni masih ada syarat yang perlu dipatuhi.

Ini bermaksud, sekiranya si anak berdepan dengan kemelut perlu memilih jodoh idaman sendiri atau kehendak ibu bapa, maka mereka tidak wajib menurut kehendak orang tua mereka tanpa perbincangan.

 Mudah kata, jika disuruh menerima pilihan mak ayah, anak-anak masih boleh berbincang mengenai ketetapan jodoh tersebut.

Namun demikian, diingatkan jangan tolak mentah-mentah. Ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.

Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah dengan memohon untuk berkenalan terlebih dahulu dengan individu yang hendak dijodohkan.

Sememangnya menurut hukum syariat, dari aspek psikologi perkahwinan, bakal pasangan perlu mengenali siapa yang bakal dikahwini dan dijadikan pasangan hidup.

Dalam Hadis Riwayat at-Tirmizi, Al-Mughirah bin Syu’bah memberitahu Rasulullah SAW bahawa dirinya bakal berkahwin dengan seorang wanita. Lalu baginda menyarankan agar beliau melihat dahulu wanita itu kerana ia boleh mendatangkan perasaan cinta kepada pasangan yang ingin dikahwini.

Sekiranya ibu bapa membuat keputusan dengan mengatakan ‘tidak perlu nak kenal-kenal pun, budak itu baik, datang daripada keluarga baik-baik juga’, maka si anak berlembutlah dengan ibu bapa.

Maklumkan kepada mereka bahawa anda perlu kenal dan suka dengan seorang individu yang asing untuk dijadikan teman hidup.

Boleh mulakan dengan pertemuan 12 mata melibatkan anda, ibu bapa anda dan si dia bersama ibu bapanya. Kemudian ambillah peluang untuk mengenal hati budi masing-masing.

Paling penting, berterus terang tentang keputusan ibu bapa yang mahu menyatukan kalian.
Jika kedua-dua sepakat dan bersedia, bolehlah sampaikan berita positif itu kepada keluarga di kedua-dua belah pihak. Jika ada pihak yang tidak bersetuju, beritahulah keputusan kalian secara telus.

Dalam kebanyakan kes, sekiranya lelaki dan perempuan masing-masing tidak mempunyai pilihan hati, keadaan tidak menjadi rumit berbanding jika salah seorang telah pun mempunyai kekasih.

Dalam situasi tersebut, sebaiknya nyatakan secara verbal dengan calon pilihan ibu bapa anda. Beliau perlu tahu keadaan anda supaya mudah untuk membuat pertimbangan.

PIKAT HATI MERTUA

Ingat, jangan sesekali memaksa diri untuk menerima seseorang yang anda tidak sayang kerana perkahwinan adalah perjalanan dan perjuangan seumur hidup.

Sekiranya anda tetap memilih kekasih hati, bersemuka dengan mak ayah dan kongsikan hal yang terbuku dalam hati.

Sekali lagi saya tekankan, gunakan bahasa yang lembut dan berhemah. Pujuk mereka untuk bertemu dengan pilihan hati anda dulu, sama sepertimana anda meminta untuk bertemu dengan pilihan mereka.

Cubalah bertahan dan kekal tenang sekiranya ibu bapa membantah dan berkeras. Jangan sesekali melawan sebab bukan anda yang dipersalahkan, tetapi pilihan hati anda yang akan menanggung beban. Ini kerana ibu bapa akan mengganggap si dia punca anda melawan dan menentang kata mereka.

Sekiranya boleh harapkan seseorang, sebagai contoh abang atau kakak atau bapa saudara yang boleh bercakap bagi pihak anda, minta bantuan mereka. Pastikan wakil anda berkenalan dengan calon pilihan anda terlebih dahulu, bersembanglah daripada hati ke hati.

Wakil anda boleh mengambil pendekatan menceritakan watak dan sikap calon pilihan kepada ibu bapa. Khabarkan akan kelebihan yang ada pada calon anda tanpa perlu membandingkan atau menjatuhkan pilihan ibu bapa.

Pada masa sama, kekasih pilihan anda juga harus berusaha memikat hati bakal mertuanya. Sebagai contoh, melalui masakan. Biar secanggih mana sekali pun dunia, air tangan tetap menjadi penambat hati terutama bakal ibu mertua.

Kena tahu hidangan kegemaran ibu anda sebab dalam banyak keadaan, ibu yang menjadi ketua perancangan. Setelah itu, mintalah buah hati anda menyediakan hidangan tersebut sebaiknya.

Tidak perlu maklumkan kepada ibu bahawa itu air tangan kekasih anda, sebaliknya jadikan ia sebagai kejutan. Kemudian minta ibu berikan komen. Jika menepati rasa dan si ibu berpuas hati, janjilah anda akan kenalkan dengan penyedia hidangan tersebut.

Pun begitu, jika si ibu tidak suka, kena ikhtiarkan cara lain pula. Usaha sehingga mak ayah setuju untuk mengenali bakal menantu atau pilihan hati.

Selain itu, kena teruskan berdoa tanpa jemu kepada ALLAH MAHA KUASA dengan berkata: “YA ALLAH! Aku dan dia (sebut namanya) saling mengasihi dan saling mencintai. Kami berhasrat untuk menghalalkan hubungan ini dalam redha-MU dan dengan restu kedua ibu bapa kami.

 “Sekiranya hasrat kami ini adalah yang terbaik, permudahkan segala urusan kami. Bukakan pintu hati ibu bapa kami untuk menerima dan merestui hubungan kami hingga ke akhir hayat kami. Namun, YA ALLAH, jika tiada kebaikan dalam hasrat kami ini, padamkan rasa hati ini dan berikanlah yang terbaik. Amin.

”Kepada mereka yang sedang berdepan dengan situasi ini, cubalah tip yang saya sarankan. Insya-ALLAH, DIA akan memberi petunjuk dan mengatur jalan terbaik. Cubalah bertahan dan kekal berlembut sekiranya ibu bapa membantah dan berkeras. Jangan sesekali melawan sebab bukan anda yang dipersalahkan, tetapi pilihan hati anda yang akan menanggung beban. Ini kerana ibu bapa akan mengganggap si dia punca anda melawan dan menentang kata mereka.”

Sumber Sinar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.