Setia Pada Pasangan, Si Jantan Pikul Tugas ‘hamil’ Dan Melahirkan - Kuda Laut, Pasangan ‘kekasih’ Paling Romantik

 

Bukan hanya manusia, namun dalam dunia haiwan juga mempunyai pelbagai kisah cinta. Tahukah anda, haiwan apa yang dianggap paling romantik dalam dunia haiwan? Salah satunya ialah pasangan ‘kekasih’ dari kelompok Hippocampus iaitu si kuda laut.

Tidak ramai yang tahu haiwan ini mempunyai kehidupan yang unik. Mengikut kajian yang dijalankan oleh Heather Hall, penyelidik dari London Zoo yang juga merupakan pengasas projek antarabangsa pemuliharaan kuda laut, haiwan ini seakan-akan memiliki ‘sebuah kisah percintaan’ yang mengasyikkan.

‘Mereka’ berpegangan ekor – seperti manusia berpegangan tangan, merubah warna tubuh kepada lebih ceria, berenang dalam keadaan muncung bertemu muncung – bercumbuan, dan bercengkerama selama berhari-hari sebelum ke aksi klimaks – mengawan, yang berlangsung selama lapan jam.

Kemuncak aksi ‘percintaan’ ini ialah apabila si kuda laut betina siap memindahkan telur ke kantung eram kuda laut jantan. Ini juga merupakan salah satu keunikan yang dimiliki oleh kuda laut iaitu pemeliharaan telur diserahkan kepada individu jantan (paternal).

Secara mudah ia bermaksud, kuda laut jantan yang akan hamil dan melahirkan anak. Si betina adalah induk yang menghasilkan telur, tetapi si jantan yang akan mengandungkannya dan memberikan nutrien kepada telur-telur yang dikandungkan persis seperti si ibu.

Kehidupan sosial ‘mereka’ juga sangat unik. Kuda laut akan ‘memberikan salam’ antara satu sama lain ketika bertemu pada pagi hari ataupun berpisah pada petang hari dengan cara yang tersendiri, sama ada mengubah warna tubuhnya seketika atau mengeluarkan bunyi ‘klik-klik’ yang dihasilkan oleh rahangnya.

Kuda laut termasuk di kalangan haiwan yang hidup secara monogami – setia kepada pasangan atau memiliki satu pasangan sahaja seumur hidup. Dengan kata lain, kuda laut bukan jenis haiwan yang berpelesiran dan melakukan seks rambang.

Apabila pasangannya mati, ditangkap atau hilang, maka haiwan ini akan lebih cenderung memilih untuk hidup secara sendirian. Tetapi sekiranya kuda laut memilih untuk mencari pengganti pasangannya, ia akan mengambil jangka waktu yang sangat lama untuk mencari pasangan yang serasi.

Hal ini menjadi antara penyumbang kepada pertumbuhan populasi kuda laut yang agak lambat, di samping penangkapan haiwan ini secara berleluasa untuk industri perubatan.

Monogami bukanlah sesuatu yang asing dalam dunia haiwan, walaupun kebanyakannya mengamalkan poligami atau bertukar-tukar pasangan. Selain daripada kuda laut, burung enggang juga mengamalkan kehidupan secara monogami. Haiwan jenis ini seolah-olah sangat mementingkan ‘cinta’ mereka dalam kehidupan.

Ekosistem

Secara spesifik, kuda laut mendiami pesisir pantai yang mempunyai rumpai laut. Ia boleh didapati di sebahagian besar kawasan pantai di seluruh dunia, yang merentasi perairan Indo- Pasifik, Selat Inggeris ke kepulauan Hawaii, sehingga ke perairan Australia. Di Malaysia, haiwan ini mudah ditemui di pesisir pantai Pulau Pinang dan perairan Mersing di Johor.

Ukuran haiwan ini bervariasi antara empat hingga 30 sentimeter sahaja. Ia tidak akan berenang jauh daripada karang untuk mengelakkan diri dari bahaya. Ekornya akan digunakan untuk menambat dirinya pada karang atau celahan batu.

Cara berenang kuda laut juga dipengaruhi oleh sistem yang sangat khusus. Kuda laut bergerak naik dan turun di dalam air dengan cara mengubah kandungan udara di dalam kantung renangnya. Sekiranya kantung ini bermasalah dan menyebabkan kehilangan udara, kuda laut akan tenggelam ke dasar laut dan akan menyebabkan kematian. Konsep ini juga digunakan oleh kapal selam untuk beroperasi.

Kuda laut juga terkenal kerana mempunyai kemahiran kamuflase (penyamaran) yang sangat tinggi. Ia berupaya mengubah corak tubuhnya mengikut lingkungan atau menyerupai tumbuhan laut. Kamuflase ini digunakan untuk menghindari dari pemangsa dan ketika sedang berasmara.

Kuda laut dipercayai mempunyai khasiat untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Ia juga merupakan salah satu material utama yang digunakan dalam perubatan tradisional masyarakat Cina. Selain ubat, kuda laut dijadikan sebagai tonik untuk memulihkan kesihatan, menjaga stamina dan vitalitas tubuh.

Fakta

  • Terdapat 50 spesis kuda laut di seluruh dunia.
  • Haiwan ini lebih suka berdiam diri dalam posisi vertikal.
  • Kuda laut jantan akan ‘hamil’ antara 10 hari sehingga enam minggu hingga telur menetas.
  • Kuda laut mempunyai ‘baju zirah’ yang melindungi tubuhnya. Pelindung tersebut sangat keras – seperti batu, dan tidak mampu dipecahkan oleh tangan manusia.
  • Kuda laut bernafas melalui insang, sama seperti ikan.
  • Mempunyai mata yang unik iaitu dapat melihat dua benda yang berbeza dalam waktu yang sama.
Sumber Infiniti

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.