“Dia manyak degil encik. Dia punya kepala batu besar ada duduk…” - Watak Pemilik Rumah Bernama Bang Ali, Itulah Lakonan Paling Sukar Buat M. Zain

 

“Dia manyak degil encik. Dia punya kepala batu besar ada duduk…” Pasti ramai yang ingat dialog dituturkan watak lelaki India ini dalam filem Seniman Bujang Lapok. Walaupun wataknya kecil dan hanya muncul sebentar, namun ia antara lakonan M. Zain yang diingati sehingga ke hari ini.

M. Zain atau Mohd Zain bin Shariff dilahirkan di Jalan Perak, Pulau Pinang pada tahun 1921. Bapa beliau merupakan seorang penjual mi yang dikenal sebagai Shariff Tomato Mi.

M. Zain meminati bidang lawak semenjak zaman kanak-kanak. Oleh sebab itu, beliau sering ponteng  sekolah semata-mata mahu menonton bangsawan atau apa-apa bentuk pertunjukan pentas.

Ketika berusia 14 tahun, M. Zain memilih bekerja di pentas bangsawan bergerak yang aktif di Pulau Pinang. Beliau memasang dan mengecat pentas, memasang set dan sebagainya dengan mendapat upah harian. Kadangkala, beliau menjadi penghibur gantian, bernyanyi dan berlawak.

Pada mulanya, M. Zain bekerja dengan Dean Opera. Kemudian, beliau bekerja pula dengan bangsawan Seri Noran Opera. Tiga tahun kemudian, M. Zain benar-benar menjadi anak wayang. Kerja beliau hanyalah menari, menyanyi dan berlakon, terutama cerita lucu dan menjelajah seluruh pelusuk Tanah Melayu dengan rombongan bangsawan.

Normadiah merupakan salah seorang kawan rapat beliau ketika mereka sama-sama menyertai rombongan bangsawan pada pertengahan tahun 1940-an. Mereka berpisah apabila Normadiah memasuki dunia perfileman di Singapura, sedangkan M. Zain masih bekerja di pentas bangsawan.

Selepas Kumpulan bangsawannya gulung tikar, M. Zain menganggur seketika. Pada tahun 1958, M. Zain ke Singapura atas bantuan Normadiah dan bekerja di studio Jalan Ampas sebagai pembuat prop dan pembantu jurusolek.

M.Zain mendapat peluang berlakon watak kecil dalam filem apabila pengarah Jamil Sulong memberikanya peranan kecil dalam filem Raja Laksamana Bintan pada tahun 1959.

Pada tahun 1962, M. Zain memperoleh peluang berlakon filem melalui bantuan Normadiah, iaitu filem Mas Merah yang diarahkan oleh Dhiresh Ghosh pada tahun 1961. Filem tersebut dilakonkan juga oleh Ahmad Mahmud, Saadiah dan Ibrahim Pendek.

M. Zain lebih banyak muncul dengan watak-watak kecil. Namun, banyak juga peranan yang dibawanya meninggalkan memori yang masih diingati sehingga ke hari ini. Antaranya…

  1. Lelaki India dalam filem Seniman Bujang Lapok.
  2. Jurulelong hamba dalam filem Ali Baba Bujang Lapok.
  3. Che’ Kachung yang minum kopi arang dalam filem Nujum Pak Belalang.
  4. Abang Ali pemilik rumah sewa Kassim Selamat dalam filem Ibu Mertua Ku.

M. Zain semakin menonjol apabila P. Ramlee mengambil beliau berlakon dalam filem Labu Labi pada tahun 1962. Dalam filem tersebut, M. Zain membawa watak ‘Labu’ manakala P. Ramlee membawa watak ‘Labi’. Itulah kali pertama M.Zain memegang peranan utama selepas berlakon sebagai watak sampingan dalam berbelas-belas filem.

Selain mengenengahkan bakatnya yang mampu berlawak secara bersahaja, antara lain Labu Labi yang diarahkan oleh P. Ramlee juga adalah untuk menghilangkan sangkaan banyak orang bahawa P. Ramlee hanya bergantung pada kebolehan berlawak Aziz Sattar dan S. Shamsudin.

Ada yang menganggap kononnya P. Ramlee tidak mampu membentuk pasangan lawak yang lain. Terbukti, sangkaan dan tuduhan tersebut tidak berasas. P. Ramlee berjaya membentuk satu pasangan lawak baharu iaitu beliau dan M. Zain, yang amat berkesan seperti pasangan Aziz Sattar dan S. Shamsudin.

Dari Labu Labi, lahir pula Nasib Labu Labi pada tahun 1963, sebuah filem komedi yang hangat di pasaran. M. Zain dan P.Ramlee menjadi pasangan pelawak yang sungguh serasi dan diminati. Di tangan P. Ramlee, populariti M. Zain menjulang tinggi.

Kesemua lakonan M. Zain selama menjadi pelakon filem berbentuk lucu atau komedi. Tahukah anda, dalam semua watak yang dibawanya, M. Zain mengatakan watak kecilnya dalam filem Ibu Mertuaku adalah yang sukar dilakukannya.

Dalam filem bercorak drama berat arahan P. Ramlee itu, M. Zain memegang watak yang agak serius. Beliau berlakon sebagai pemilik rumah bernama Bang Ali.

Bang Ali berdepan dengan Kassim Selamat, pemain muzik buta yang tidak mampu membayar sewa rumah. Bang Ali terpaksa bertindak dengan cara yang paling lembut meminta Kassim Selamat mengosongkan bilik sewaannya.

“Inilah lakonan yang paling sulit buat saya,” ujar M. Zain ketika mengulas lakonan serius yang pertama kali dilakonkan oleh beliau.

Selepas P. Ramlee berhijrah ke Studio Merdeka di Kuala Lumpur, M. Zain tidak lagi berpeluang berlakon dengan P. Ramlee yang telah menaikkan namanya.

Apabila studio Jalan Ampas mula mengalami masalah dan terbitan merosot, M. Zain menerima nasib yang sama dengan kakitangan MFP yang lain, menjadi penganggur selepas syarikat filem itu ditutup pada tahun 1967.

Pada tahun 1966, kesihatan M. Zain mula menurun, sering sakit sehingga pernah masuk hospital. Dia dinasihatkan tidak melakukan kerja-kerja berat. Ketika itu, Normadiah banyak membantu menjaganya kerana M. Zain hanya sebatang kara di Singapura berikutan ahli keluarganya semua di Pulau Pinang.

Akhirnya pada 31 Januari 1967, M. Zain menghembuskan nafas terakhir di Singapura pada usia 46 tahun. Jenazahnya diuruskan di rumah Normadiah dan dikebumikan di Pusara Bidadari.

Kawan-kawan yang pernah bertugas dengan beliau di MFP menyifatkan M. Zain sebagai seorang pelakon yang dedikasi dan kawan yang jujur serta ikhlas.

Raja Laksamana Bintan (1959), Nujum Pak Belalang (1959), Megat Terawis (1960), Sumpah Wanita (1960), Isi Neraka (1960), Putera Sangkar Maut (1960), Ali Baba Bujang Lapok (1961), Indera Bangsawan (1961), Seniman Bujang Lapok (1961), Panji Semerang (1961), Si Tanggang (1961), Mas Merah (1961), Singapura Dilanggar Todak (1961), Labu Labi (1962), Siti Muslihat (1962), Nasib Labu Labi (1963), Ibu Mertuaku (1963), Siti Muslihat (1962), Gerhana (1962), Labu Labi (1962), Nasib Si Labu Labi (1963), Kaseh Tanpa Sayang (1963), Neracha (1963), Darah Muda (1963), Pilih Menantu (1963), Mambang Moden (1964), Melancong Ke Tokyo (1964), Siapa Besar (1964), Pusaka Pontianak (1965), Sayang Si Buta (1965), Aksi Kucing (1966).

Sumber Dipetik daripada buku JEJAK TERBILANG

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.