“Tolong saya tuan, saya lapar. Sejak semalam tak makan” - Akulah Pengemis Yang Pernah DihaIaunya Dulu

ADA seorang lelaki, punya perniagaan yang berjaya. Dia hidup senang di sebuah rumah bersama seorang isteri yang cantik rupawan.

Suatu hari, ketika mereka sedang duduk berehat di beranda rumah, datang seorang pengemis lelaki berpakaian lusuh dan kotor.

“Tolong saya tuan, saya lapar. Sejak semalam tak makan,” rayu si pengemis itu.

“Pergi! Pergi! Tidak ada makanan di sini untuk kamu!” tengking lelaki itu menghalau si pengemis.

Isterinya hanya melihat sayu keadaan itu. Dia mahu memberikan sedikit makanan tetapi tidak diizinkan oleh suaminya.

“Aku bersusah payah bekerja membina perniagaan hingga berjaya hidup senang, semua untuk kesenangan keluargaku, bukan untuk orang lain,” ujar lelaki itu sombong.

Ditakdirkan beberapa tahun kemudian, perniagaan lelaki itu mengalami kejatuhan sehingga segala-gala hartanya terpaksa dijual. Akhirnya, lelaki itu jatuh miskin. Dia menceraikan isterinya kerana tidak mahu wanita itu hidup menderita kemiskinan sepertinya.

Beberapa tahun kemudian, wanita itu berkahwin sekali lagi dengan lelaki lain. Suatu hari, semasa sedang makan bersama suaminya, tiba-tiba pintu rumah mereka diketuk.

Apabila wanita itu membuka pintu, berdiri seorang pengemis sambil merayu agar diberikan sedikit makanan kerana sedang lapar. Mendengar rayuan itu, pantas si suami menyuruh isterinya mengambil makanan yang ada di atas meja mereka untuk diberikan kepada pengemis di luar rumah mereka.

Wanita itu menurut perintah suaminya. Namun, setelah memberikan makanan kepada pengemis itu, wanita itu menangis kesedihan. Lalu suaminya bertanya, “Mengapa kau menangis?”

Wanita itu menjawab dalam kesedihan, “Pengemis di luar itu sebenarnya adalah bekas suamiku dahulu. Dia juga yang pernah menengking dan menghalau pengemis yang pernah meminta makanan darinya dahulu.”

“Demi Allah, sebenarnya akulah pengemis yang pernah dihalaunya dahulu,” jawab suaminya.

Moral cerita: Hidup ini bagaikan putaran roda. Ada kalanya di atas, ada kalanya kita di bawah. Oleh itu sentiasalah beringat agar kita melakukan kebaikan terutama sewaktu kita dalam kesenangan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Barang siapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dengan kekayaannya, barang siapa yang mempunyai ilmu, maka bersedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga, bersedekahlah dengan tenaganya.” (hadis riwayat Anas b. Malik).

Sumber Pedoman Iktibar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.