JIKA anda orang Kelantan, pernahkah mendengar kisah tentang ‘Keramat Pok Dogol’? Kisah Pok Dogol ini selalu diceritakan orang tua-tua zaman dahulu. Mungkin generasi zaman sekarang sudah jarang mendengar kisah tersebut.
Waktu kecil-kecil dahulu, orang tua selalu berpesan kalau main dalam hutan, jumpa batang kayu, jangan ganggu. Nanti kena sampuk dek Pok Dogol. Begitu juga kalau nampak kelibat ayam hutan, atau apa-apa binatang dengan tunggul kayu, orang tua melarang mendekatinya, jauh sekali membuang hajat. Katanya, itu kawasan Pok Dogol. Kalau hendak kencing juga, jangan kencing dekat dengan tunggul kayu mati. Bimbang Pok Dogol marah.
Ambo masih ingat satu kisah yang diceritakan oleh bapa saudara Ambo. Katanya, sewaktu dia kecil dahulu, pernah seorang kawannya meracau-racau setelah dia meludah di sebatang tunggul kayu mati.
Ceritanya, suatu petang dia bersama kawan-kawannya masuk ke kebun getah untuk mencari biji getah bagi dibuat peluru lastik. Sedang mereka mencari itu, mereka ternampak satu tunggul kayu mati berwarna hitam tercacak di tengah-tengah antara dua batang pokok. Seorang kawan telah melarang supaya tidak menghampiri tunggul kayu itu, tapi seorang lagi degil.
“Kau ni penakut sangat. Apa nak takut. Kau tengok ni…” kata kawannya sambil meludah ke arah tunggul kayu itu.
Keluar sahaja dari kebun getah, kawannya yang meludah tadi terus pengsan. Sebaik dibawa pulang ke rumah, mulutnya berbuih-buih. Dia juga meracau-racau seperti dirasuk. Tidak lama selepas itu, seorang bomoh datang. Setelah ditilik-tilik, dikatakan kawannya itu disampuk Pok Dogol.
Siapa Pok Dogol?
Pada zaman moden sekarang, nama itu sudah jarang lagi disebut. Apakah sebenarnya Pok Dogol ini? Setahu Ambo, Pok Dogol adalah satu watak dalam permainan wayang kulit yang selalu di mainkan di sebelah Kelantan. Namun, apa kaitan keramat Pok Dogol dengan Pok Dogol dalam wayang kulit? Adakah ia sekadar kebetulan?
Ambo pernah menemu bual seorang penggiat wayang kulit. Namanya Husin Bin Yusoff, atau lebih mesra dengan panggilan Pok Seng.
“Pok Dogol ni nama watak dalam wayang kulit. Pok Dogol ni seorang yang hodoh dan hitam. Tapi dia ni seorang yang bijak dan paling merendah diri,” kata Pok Seng.
Cerita Pok Seng, jika diikutkan kisah hikayat yang diperturunkan oleh tok dalang dulu-dulu, asal usul Pok Dogol ni sebenarnya merupakan seorang dewa yang sangat tampan. Namanya Dewa Sang Yang Tunggal. Sewaktu dia berada di kayangan, dia teringin mahu mengenali anak cucunya yang berada di bumi. Akhirnya dia membuat keputusan untuk turun ke bumi.
Dia turun daripada kayangan dengan rupa asalnya yang sangat kacak. Dalam riwayat mengatakan, kekacakan Dewa Sang Yang Tunggal menyebabkan ikan di dalam laut juga melompat ke darat kerana mahu mengikutnya.
Disebabkan kekacakannya membawa petaka, dia kemudian menyorok dalam sebuah tunggul kayu yang terdampar di tepi pantai. Selepas keluar dari tunggul kayu itu, dia merubah keadaannya menjadi seorang lelaki yang sangat hodoh.
“Panjang cerita dia. Tapi begitulah yang diceritakan oleh tok dalang dulu seperti Tok Mejoh dan Pok Soh Sira,” jelas Pok Seng.
Dalam mainan wayang kulit, Pok Dogol merupakan seorang tua yang bijaksana. Dia juga merupakan ketua dalam segala watak patung-patung wayang kulit. Tok dalang dahulu menganggap Pok Dogol ni dewa Sang Yang Tunggal. Sebab itulah patung Pok Dogol ini dipuja oleh tok dalang dulu-dulu.
Kulit untuk membuat patung Pok Dogol juga amat istimewa. Lebih elok sekiranya menggunakan kulit lembu yang dipanah petir. Pada malam-malam tertentu, patung Pok Dogol akan diasapkan dengan kemenyan dan dibungkus dengan kain kuning serta diasingkan dengan patung watak wayang kulit yang lain.
Patung Pok Dogol juga akan dikalungkan dengan bunga melor dan diikat benang pada bahagian pinggangnya. Sebelum wayang kulit dijalankan, Pok Dogol akan dijampi dan dipuja dengan amalan-amalan tertentu.
Untuk apa semua tu? Soal Ambo.
“Orang dulu-dulu, setiap kampung atau kawasan ada tok dalang masing-masing. Mereka buat persembahan sebab nak tunjukkan siapa yang lebih hebat. Kalau persembahan dia memukau, penonton ramai, suara yang enak, dia merupakan tok dalang yang hebat. Sebab tu dia ada jampi-jampi. Tak macam tok dalang sekarang. Tok dalang sekarang main wayang kulit sebab nak cari pendapatan. Mana ada puja-puja dah,” kata Pok Seng lagi.
Menurut Pok Seng, tok dalang zaman dulu kalau naik panggung tidak ada pendinding diri, memang cari penyakit. Pernah satu peristiwa berlaku depan Pok Seng, panggung tempat wayang kulit tiba-tiba sahaja terbakar. Padahal tidak ada sesuatu yang boleh menyebabkan kebakaran itu. Kadang-kadang, gendang yang dimainkan juga tidak berbunyi walaupun dipukul bertalu-talu.
Selain tu, patung Pok Dogol juga tak boleh dibuat main-main. Pernah ada orang meracau sebab mulutnya memaki hamun Pok Dogol.
“Tapi tu dulu. Sekarang ni tak ada apalah. Dulu kalau orang semangat lemah, tak boleh pegang patung Pok Dogol. Mesti meracau atau sakit. Tapi sekarang, nak pijak pun tak ada apa dah,” kata Pok Seng lagi.
Tambahnya, disebabkan itulah orang Melayu dulu-dulu takut sangat dengan Pok Dogol. Dalam fikiran mereka sudah tertanam, Pok Dogol ni ada keramat. Jadi batang kayu juga dianggap berpuaka.
Jawapan Pok Seng lebih kurang sama dengan Che Mat Bin Jusoh, seorang karyawan yang pernah Ambo hubungi dahulu. Dia merupakan Karyawan Tamu di Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Menurut Che Mat, memang dahulu patung Pok Dogol ini dianggap keramat dan hebat. Ia sama juga dengan watak wayang kulit di Siam. Kalau di Siam, watak paling agung ialah watak Wak Soh, dan Indonesia pula bernama Semar. Watak-watak ini juga dikatakan merupakan seorang dewa, dan hikayatnya lebih kurang sama.
“Benda ni tak mustahil jadi, sebab patung-patung zaman dulu dipuja. Kalau dipuja, lama-lama mesti ada pendamping dia. Sebab tu Pok Dogol dulu disimpan elok-elok, dibungkus dengan kain kuning. Tak boleh dilangkah dan mesti diberi makan. Istilah beri makan tu macam pujalah,” jelas Che Mat.
Orang dulu-dulu menjadikan wayang kulit sebagai hiburan. Cerita hikayat yang mereka dengar dan tonton terbawa-bawa ke dalam kehidupan. Mereka menganggap watak Pok Dogol itu keramat. Hikayat dahulu pun banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur khurafat dan tahyul. Tapi apabila selalu mendengarnya, akhirnya hikayat itu dirasakan benar dan dibawa ke dalam realiti.
Tidak dinafikan tok dalang dulu-dulu ada ilmu. Sebelum naik pentas atau panggung, mereka sudah persiapkan diri. Buka mulut sahaja boleh membuatkan orang terfana dengan apa yang mereka ungkapkan. Apabila bercakap dengan orang, orang akan percaya. Bila bercakap dengan wanita, wanita juga akan cair. Orang juga akan asyik dengan persembahan mereka. Semua ini disebabkan mereka telah menjampi Pok Dogol itu.
“Tapi kena ingat, ada kalanya Allah memang berikan semua itu terjadi tapi secara istidraj. Allah izinkan sesuatu itu berlaku untuk menyesatkan lagi. Sebab kalau tahu ilmu tu tak baik, jangan ambil. Jauhi terus,” nasihat Che Mat.
Batu di tepi jalan pun kalau kita percaya dengan batu itu dan dipuja, pasti boleh terjadi sesuatu. Semua itu makhluk, tiada apa yang lebih berkuasa dari Allah. Lebih malang, apabila ada juga orang dulu-dulu menyamakan taraf Pok Dogol ini seperti Tuhan.
Benar kata Che Mat. Kita sendiri pun kalau terdengar cerita yang sama hari-hari pasti kita merasakan bahawa cerita itu benar, walaupun ia hanyalah rekaan. Sebenarnya, cerita wayang kulit hanyalah hikayat yang direka untuk hiburan semata-mata. Disebabkan ada unsur-unsur pemujaan begini menyebabkan wayang kulit dianggap karut.
Sumber Ikhwan Abd. Ghani @ Ambo
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.