USIANYA baru belasan tahun, namun struktur tubuh dan wajahnya tidak ubah seperti orang yang sudah berusia lebih separuh abad. Inilah salah satu penyakit aneh yang jarang-jarang berlaku, dikenali sebagai ‘lipodistrofi’.
Lipodistrofi adalah sejenis penyakit yang jarang sangat ditemui. Dianggarkan hanya sekitar 2000 kes sahaja dilaporkan pernah berlaku di seluruh dunia.
Salah seorang penghidap penyakit ini ialah Zara Hartshorn yang lahir di New York, Amerika Syarikat. Zara telah kehilangan keindahan zaman kanak-kanaknya. Ketika usianya baru mencecah 13 tahun, perwatakannya kelihatan seperti seorang nenek dengan kulit yang berkedut dan badan yang kurus melidi.
Fizikal Zara berbeza dengan rakan-rakan sebaya yang lain. Penampilan yang seperti wanita tua menyebabkan kehidupan sosialnya turut terbatas. Ketika remaja lain bimbang dengan masalah jerawat, Zara pula sudah pun terganggu dengan sindrom penuaan yang dialaminya.
Pakar perubatan mengesahkan bahawa Zara mengalami sejenis penyakit keturunan iaitu Lipodistrofi. Penyakit kelainan genetik itu telah diwarisi daripada ibunya yang turut mengalami masalah yang sama seperti Zara ketika usia remaja.
Ketika dilahirkan, fizikal Zara sama seperti bayi lain. Ibunya memberitahu, Zara adalah seorang kanak-kanak yang periang. Namun, semuanya mula berubah semasa umurnya menginjak lima tahun.
Dalam usia semuda itu, sindrom Lipodistrofi telah menunjukkan kesan apabila wajahnya mula beransur-ansur menjadi tua. Kulitnya mula kering dan berkedut. Dalam masa singkat, wajah keanak-anakan Zara telah berubah menjadi wanita yang kerepot.
Ke mana sahaja beliau pergi, Zara selalu menjadi subjek perhatian orang ramai. Mungkin ramai yang berasa pelik melihat seorang nenek yang masih mengenakan pakaian seperti kanak-kanak.
Keanehan dirinya itu juga telah menyebabkan rakan-rakannya di sekolah turut menggelarnya dengan panggilan nenek. Malah, ketika menaiki bas dan menonton wayang juga, Zara terpaksa membayar harga tiket untuk orang dewasa. Apabila dia menyatakan usianya yang sebenar, orang lain hanya tertawa dan menganggapnya menipu. Keadaan itu sedikit sebanyak telah memberi tekanan kepadanya sehingga menyebabkan beliau bimbang untuk keluar rumah.
Ibu Zara memberitahu, dalam keluarga mereka hanya Zara sahaja yang mempunyai kesan penyakit Lipodistrofi yang agak teruk. Dua orang kakak Zara turut mengalami masalah yang sama tetapi gejala yang melanda mereka agak ringan dan kesan penuaan tidak terlalu ketara.
Penyakit Genetik
Lipodistrofi adalah sejenis penyakit genetik yang mana menyebabkan tubuh tidak mampu menghasilkan sel-sel lemak di bawah kulit.
Lapisan kulit manusia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu epidermis – kulit di bahagian luar, dermis – kulit dalam, dan lemak. Penghidap lipodistrofi biasanya mempunyai lapisan lemak yang sangat nipis di bawah kulit. Dari hari ke hari, lapisan lemak tersebut akan semakin menipis.
Ia terjadi disebabkan jaringan lemak di dalam tubuh tidak mampu tumbuh secara normal, terutama sekali di bahagian muka. Disebabkan itu, ketegangan kulit akan menyusut dan berkedut, seterusnya membuatkan seseorang pesakit kelihatan tua dan abnormal.
Seseorang yang mengalami lipodistrofi mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mendapat penyakit lain seperti diabetes, sakit jantung, angin ahmar dan masalah pada hati.
Setakat ini tiada ubat yang boleh menyembuhkan atau mengembalikan fungsi jaringan lemak di dalam tubuh pesakit liposdistrofi. Rawatan susulan seperti suntikan lemak boleh dilakukan tetapi ia hanya bersifat sementara dan perlu dilakukan secara berterusan. Bagaimanapun, suntikan lemak tidak banyak membantu pesakit untuk mengembalikan ketegangan kulit.
Selain lipodistrofi, penyakit lain yang mempunyai gejala yang hampir sama juga ialah ‘progeria’. Proses penuaan penghidap penyakit ini terjadi dengan kecepatan empat hingga tujuh kali ganda daripada manusia normal. Seseorang itu bukan sekadar tua secara fizikal sahaja, tetapi ia merangkumi struktur tubuh secara keseluruhan. Dengan kata lain, sesiapa yang mengalaminya akan menjadi tua lebih cepat dari usia sebenarnya.
Perbezaan antara lipodistrofi dengan progeria ialah penyakit ini bukan sejenis penyakit keturunan dan ia boleh menyerang sesiapa sahaja. Nisbahnya ialah satu pesakit daripada 8 juta orang. Beberapa filem juga pernah diterbitkan untuk menterjemahkan penyakit ini kepada masyarakat seperti filem ‘The Curiuos Case of Benjamin Button’ lakonan Brad Pitt dan filem ‘Jack’ lakonan Jennifer Lopez.
Hayley Okiens, seorang kanak-kanak dari Bexhill, England pernah dilaporkan mengalami masalah ini ketika berusia 12 tahun. Pertumbuhan tubuhnya sama seperti usia seekor kucing yang mana lapan kali lebih cepat daripada manusia biasa. Dengan keadaan fizikalnya, Hayley dianggarkan seperti berusia 96 tahun. Bukan sahaja fizikal luaran, tetapi Hayley turut mengalami masalah osteoporosis iaitu kerapuhan tulang.
Sumber Infiniti
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.