Alhamdulillah… Semakin Banyak Masjid Di Amerika Syarikat Membenarkan Laungan Azan Secara Terbuka

Kita sangat bertuah berada di Malaysia, sebuah negara majoriti beragama Islam kerana banyak kemudahan telah disediakan untuk Muslimin beribadah. Mungkin kerana sudah terbiasa, kemudahan itu kadangkala diambil enteng oleh masyarakat kita.

Namun, bagi komuniti Islam di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat (AS), mereka terpaksa berusaha keras untuk mendapatkan kemudahan tersebut.

Di bandar Minneapolis, masyarakat Islam di sana menerima berita menggembirakan apabila semua masjid kini sudah boleh melaungkan azan secara terbuka.

Perkara ini diumumkan oleh ahli Majlis Bandaraya Minneapolis, Jamal Osman baru-baru ini dengan menjelaskan bahawa masjid-masjid dalam bandar itu dibenarkan melaungkan azan antara jam 7 pagi hingga 10 malam setiap hari sepanjang tahun tanpa perlu mendapatkan permit.

Resolusi itu diusulkan oleh komuniti Muslim Caucus yang diketuai oleh Osman dan berjaya menerima kelulusan pihak Majlis Bandaraya yang juga mengiktiraf Ramadan sebagai sebuah bulan suci bagi umat Islam.

“Ini suatu perkara besar. Bagi ribuan orang Islam di Minneapolis, ini dikira suatu pengiktirafan terhadap kepercayaan mereka,” ujar Osman.

Minneapolis mempunyai hampir 20 masjid dan lebih daripada 150,000 penduduk beragama Islam. Kebanyakannya berasal dari negara Afrika Timur.

Kali pertama azan berkumandang di bandar itu adalah pada tahun 2020 ketika masjid Dar al-Hijrah di Cedar-Riverside menjadi masjid pertama yang diberikan permit untuk melaungkan azan.

Walau bagaimanapun, resolusi itu juga menyenaraikan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh pihak masjid ketika melaungkan azan. Antaranya azan yang dibunyikan mesti di bawah 70 decibel dan laungan tidak boleh dilakukan pada awal pagi dan lewat malam. Ini bermakna azan bagi solat subuh tidak boleh dilaksanakan.

Bagi Osman, resolusi ini adalah langkah yang betul ke arah kesaksamaan agama. Kata beliau, “Banyak lagi perkara yang kita perlu usahakan untuk memastikan semua orang menerima hak yang sama seperti yang dinikmati oleh agama-agama lain”

Yusuf Abdulle, pengarah eksekutif bagi Persatuan Islam Amerika Utara menyambut baik keputusan itu. Menurutnya, azan adalah simbol keharmonian dan resolusi ini dapat membuka peluang kepada komuniti Islam untuk mengeratkan lagi hubungan dengan jiran bukan Islam.

Salah seorang imam di masjid Karmel, Syeikh Sa’ad Musse Roble berkata beliau dan ketua-ketua masjid yang lain sedang berbincang cara mendekati jiran-jiran bukan Islam di sekeliling untuk memastikan mereka bersetuju dengan laungan azan tersebut.

Amerika Syarikat membenarkan laungan azan buat pertama kali pada tahun 2004 di bandar Hamtramck diikuti dengan Dearborn. Kedua-duanya berada di negeri Michigan.

Paterson di New Jersey yang mempunyai seramai 30,000 penduduk Islam pula menjadi bandar ketiga yang meluluskan panggilan azan pada bulan Mac 2020.

Sumber Sinar Islam

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.