KELIBAT enam kanak-kanak lelaki yang berbaju sedondon pasti akan menarik perhatian ramai di mana sahaja mereka berada.
Kerenah serta gelagat masing-masing pasti membuatkan orang yang melihatnya akan terhibur, namun sebenarnya ada kisah di sebalik baju sedondon yang dipakai enam beradik ini.
"Pernah terjadi, pergi ke kedai lapan beranak tapi separuh jalan baru perasan balik bertujuh saja.
"Ada seorang anak tertinggal! Mujur yang tertinggal tu dia elok duduk diam saja dekat kedai tu sambil menunggu. Sebab itulah, saya bagi semuanya pakai sedondon.
"Senang nak mengecam kalau pergi ke mana-mana," kongsi Nailah Fauzia Mardanil mengenai anak-anaknya.
Dikurniakan enam cahaya mata yang kesemuanya 'hero', wanita ini yang senang disapa sebagai Nailah berkata, dia dan suami sememangnya mensyukuri anugerah Ilahi biarpun ramai yang sering membangkitkan persoalan mengenai jantina anak kepadanya.
"Biasalah... kalau pergi mana-mana mesti ada yang bertanya 'semua boys... cubalah petua untuk dapat girl pula'.
"Tipulah kalau kata tak mengharapkan untuk mendapat cahaya mata perempuan. Orang bagi petua, semua saya cuba ikhtiar. Ada yang kata banyakkan seafood, kurangkan daging. Memang cuba... dekat orang lain berkesan, tapi dekat saya tak berkesan petua tu.
"Tapi sebenarnya sejak anak nombor tiga lahir, saya dan suami dah reda mengenai jantina anak.
"Bagi kami, kalau seterusnya dapat hero pun, tak kisah asalkan sempurna dan cukup sifat. Anak anugerah Allah, kita sepatutnya bersyukur kerana setiap orang ada rezeki masing-masing," ujar wanita berusia 31 tahun ini.
Bercerita mengenai cabaran membesarkan enam 'hero', Nailah berkata sama seperti ibu lain yang dikurniakan cahaya mata yang ramai, dia turut tidak terkecuali 'pening kepala' apatah lagi kesemuanya lasak.
"Sejak hamil, saya dah lalui cabarannya. Uniknya, setiap anak saya, pembawaannya berlainan. Saya alami alahan yang teruk ketika hamil anak keempat hingga keenam.
"Ketika hamil anak keempat, saya tak boleh lalu dapur... pasti muntah. Ketika hamil anak kelima pula, pantang nampak lori mesti muntah.
"Jadi saya memang tak keluar sangat. Kalau keluar pun untuk check-up saja sebab tak boleh tengok lori. Tak pasal-pasal lori pula yang salah. Ketika hamil anak keenam pun sama, muntah setiap masa sampai nak bersalin," ceritanya sambil ketawa kecil.
Ketika hamil anak keempat, saya tak boleh lalu dapur... pasti muntah. Ketika hamil anak kelima pula, pantang nampak lori mesti muntah.
NAILAH FAUZIA MARDANIL
Kesemua hero Nailah ketika ini berusia dalam lingkungan dua tahun hingga 11 tahun.
Tambah Nailah yang merupakan suri rumah sepenuh masa, rumahnya sentiasa riuh rendah dengan kerenah enam hero yang sememangnya begitu aktif dan lasak.
"Kalau dah namanya hero, memang mencabar. Dah nak masuk tidur pun bertekak. Bagi saya, cabaran terbesar adalah saya sentiasa belajar benda baru sebab setiap anak lain karakternya.
"Perangai lain, selera makan pun lain. Orang kata, kita jangan ikut anak-anak sangat... contohnya bab makanan. Tapi kalau kita paksa benda dia tak suka, tetap dia tak suka makan.
"Jadi memang setiap anak, lain cara untuk uruskan. Begitu juga kalau mereka bergaduh. Kunci utama, bertenang. Kalau bertenang, kita dapat berfikir dengan baik," ujarnya yang menetap di Jelebu, Negeri Sembilan.
Nailah menambah, buat masa ini dia dan suami mahu fokus untuk membesarkan enam anak mereka terlebih dahulu sebelum merancang untuk mendapatkan cahaya mata baru.
"Insya-Allah pasti nak usaha untuk dapatkan bunga seorang... namun kalau anak ketujuh nanti direzekikan lelaki lagi, kami terima saja.
"Tak perlu nak stres. Ada hikmah semuanya. Setiap pasangan ada rezeki masing-masing. Orang selalu cakap, insya-Allah senang apabila dah tua nanti sebab anak lelaki pasti menjaga ibu ayahnya.
"Saya hanya letak harapan supaya semua anak-anak saya berguna untuk agama dan negara," ujarnya lagi.
Sumber mStar
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.