Sewaktu Sultan Abdullah (Sultan Perak) menjalani hukuman dibuang negeri ke Kepulauan Seychelles kerana didakwa bersubahat dalam pembunuhan Residen British, JWW Birch, baginda amat suka mendengar lagu berjudul ‘Terang Bulan’ yang digubah oleh Pierre Jean de Beranger, seorang penggubah Perancis.
Apabila baginda selesai menjalani hukuman, Sultan Abdullah kembali ke tanah air dan membawa lagu tersebut yang kemudian diberi senikata baru dengan judul baru iaitu ‘Allah Lanjutkan Usia Sultan’ lalu dijadikan sebagai lagu rasmi negeri Perak.
Sewaktu negara berada di ambang kemerdekaan pada tahun 1956, semua negeri di Tanah Melayu sudah mempunyai lagi mereka sendiri. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika itu mahu agar ada sebuah lagu khas dicipta sewaktu negara sedang bersiap sedia untuk menyambut kemerdekaan.
Untuk itu, Tunku Abdul Rahman telah membuat pertandingan mencipta lagu kebangsaan dan ia tidak terhad kepada penduduk tempatan sahaja, bahkan penyertaan turut diterima dari serata dunia.
Dikatakan, sebanyak 514 lagu telah diterima. Namun, jawatankuasa khas untuk pemilihan lagu ini yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman berpendapat tiada satu pun lagu-lagu dari penyertaan itu sesuai dijadikan lagu kebangsaan.
Beberapa orang penggubah lagu yang hebat dan bertaraf antarabangsa juga diminta untuk mencipta lagu kebangsaan. Masih sama, jawatankuasa pemilihan lagu masih merasakan lagu ciptaan mereka tidak sesuai dijadikan lagu kebangsaan.
Jawatankuasa kemudian menimbangkan semula untuk mendengar lagu-lagu kebesaran negeri-negeri Tanah Melayu ketika itu. Dan Tunku Abdul Rahman mencadangkan agar lagu kebangsaan negeri Perak berjudul ‘Allah Lanjutkan Usia Sultan’ dipilih sebagai asas kepada lagu kebangsaan.
Lagu itu digubah semula tajuk dan senikatanya. Hadiah sebanyak seribu ringgit ditawarkan kepada penggubah untuk mencipta seni kata lagu kebangsaan dan ia telah dimenangi oleh Encik Saiful Bahri bin Elyas.
Diberi judul NEGARAKU, skor lagu itu disediakan oleh Alfonso Soliano (Pemimpin Orkestra Radio Malaya), D.S.P Croff (Pengarah Muzik, Pancaragam Polis Diraja), Kapten Lenthall (Pengarah Muzik, Pancaragam Askar Melayu, Port Dickson) dan A.T Reed (Ketua Pengarah Radio Malaya).
Akhirnya, lagu NEGARAKU diangkat sebagai lagu kebangsaan dan telah diperdengarkan buat pertama kalinya kepada rakyat pada detik 12.00 malam di ambang merdeka 31 Ogos 1957, di Padang Kelab Selangor. Bermula dari detik tersebut, Negaraku kekal menjadi lagu rasmi Malaysia.
Negaraku
Tanah tumpahnya darah ku
Rakyat hidup bersatu dan maju
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan
Raja kita selamat bertakhta
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan
Raja kita selamat bertakhta
INFO TAMBAHAN :
**Tunku Abdul Rahman telah mengarahkan Ahmad Merican yang ketika itu bertugas sebagai penyelia Radio Malaya untuk menubuhkan sebuah kumpulan koir merdeka yang terdiri daripada rakyat berbilang bangsa dan jantina sebagai simbol perpaduan dalam negara. Bersama sahabatnya, Tony Fonseka, Ahmad Merican telah berjaya membentuk kumpulan koir seperti yang diinginkan oleh Tunku Abdul Rahman dalam waktu yang singkat. Pada 31 Ogos 1957, kumpulan Koir Merdeka itu telah menyanyikan lagu Negaraku secara langsung buat pertama kalinya di khalayak ramai di Dataran Merdeka sebaik saja laungan keramat ‘MERDEKA’ selesai dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman.
**Lagu Negaraku berentak baru yang lebih rancak telah diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-4. Hanya permulaan lagu itu perlahan seperti irama yang asal, namun pergerakannya bertambah laju ke penghujung. Lagu Negaraku dengan rentak baru ini telah dimainkan pada malam sambutan ambang merdeka, 31 Ogos 2003 di Dataran Merdeka, setelah Tun Mahathir melaungkan perkataan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali.
Selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke-66 buat seluruh rakyat Malaysia.
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
Sumber Utusan TV
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.