Kirsty mempunyai sejarah perubatan yang dianggap mustahil bagi seorang manusia apabila sebahagian daripada jantungnya telah dibuang. Namun apa yang aneh ialah jantungnya ‘tumbuh’ semula dan perkara ini telah mengejutkan banyak pihak, bahkan turut dianggap sebagai satu keajaiban dalam dunia perubatan moden.
Semuanya bermula pada tahun 1998 apabila Kirsty yang ketika itu berusia empat bulan dikatakan mengalami masalah jantung. Walaupun pada awal kelahirannya Kirsty tidak mempunyai sebarang masalah, tetapi tahap kesihatan kanak-kanak ini mula menurun menjelang bulan-bulan berikutnya.
Tubuh kanak-kanak comel ini dikatakan sering menjadi lebam kebiru-biruan ketika awal usia. Malah ada kalanya dia juga turut diserang sawan serta mempunyai sistem pernafasan dan degupan nadi yang tidak normal.
Apabila didiagnosis, pasukan perubatan Hospital John Radcliffe, Oxford yang diketuai oleh Dr. Stephen Westaby mendapati jantung kanak-kanak ini mengalami anomali aneh yang membahayakan nyawanya. Kondisi jantung Kirsty tidak sempurna kerana pembuluh darahnya telah bersilang dengan organ lain.
Saluran darah pada bahagian kiri organ berkenaan yang sepatutnya berfungsi membawa darah ke jantung melalui aorta, telah bersambung dengan pembuluh darah paru-paru. Akibatnya, jantung kanak-kanak ini kekurangan oksigen dan membengkak.
Semakin hari, tahap kesihatannya bertambah kritikal. Justeru, pasukan perubatan yang merawat kanak-kanak ini tidak mempunyai pilihan lain selain daripada melakukan pembedahan bagi menyelamatkan nyawanya. Apa yang perlu dilakukan ialah membetulkan semula sistem pembuluh darah jantung dan membuang satu pertiga daripada organ berkenaan yang tidak diperlukan.
Apa yang pasti, kebarangkalian untuk Kirsty terus hidup adalah sangat tipis kerana usianya yang terlalu muda. Atau, sekiranya dia mampu bertahan sekalipun, kanak-kanak ini berkemungkinan besar akan mengalami kecacatan kekal sepanjang hayat.
Berita tersebut sedikit sebanyak telah menggusarkan hati pihak keluarga bayi berkenaan. Kedua ibu bapanya, Becky dan Wayne tidak menaruh harapan yang tinggi, melainkan hanya mampu berdoa supaya cahaya mata mereka ini kembali pulih kepada keadaan yang normal.
Ternyata apa yang diharapkan oleh kedua-dua ibu bapa Kirsty telah menjadi kenyataan. Selepas beberapa hari menjalani operasi pembedahan yang berat, kanak-kanak ini kembali sedar daripada komanya. Bermula dari detik itu, tahap kesihatan Kirsty dilihat semakin baik dari hari ke hari. Ia diibaratkan seperti suatu magis apabila dia sudah mampu untuk menangis, makan dan memberi reaksi yang sama seperti bayi-bayi comel lain.
Bagaimanapun, doktor masih terus melakukan pemantauan terhadap tahap kesihatan Kirsty. Selama tiga minggu berada di hospital, Kirsty kemudiannya dibenarkan pulang kerana kondisi kesihatannya yang semakin stabil. Tetapi dia masih perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secara bulanan di hospital berkenaan.
Selepas hampir setahun menjalani pemantauan berkala, Dr. Stephen Westaby yang merawat kanak-kanak ini mengesan sesuatu yang aneh telah berlaku. Jantung Kirsty yang sepatutnya berukuran lebih kecil didapati semakin membesar menyamai saiz ukuran jantung normal.
Melalui imbasan MRI, Dr. Stephen mengesahkan organ pengepam darah itu telah tumbuh semula menggantikan satu pertiga bahagian yang telah dibuang, tanpa melalui proses pemindahan jantung. Perkara ini benar-benar telah mengejutkan dunia perubatan, terutamanya pakar-pakar jantung yang mengikuti perkembangan kes Kirsty ketika itu.
Dalam kenyataannya, Dr. Stephen menjelaskan, situasi ini adalah sesuatu yang mustahil untuk berlaku. Malah, ketika melakukan operasi pembedahan itu dia langsung tidak menjangkakan Kirsty mampu untuk terus hidup, apatah lagi ia dilakukan ketika usia kanak-kanak ini masih sangat muda iaitu empat bulan.
Menurut Dr. Stephen lagi, jantung bukanlah seperti organ lain yang mempunyai sel untuk tumbuh semula. Namun, mungkin disebabkan pembedahan tersebut dilakukan ketika Kirsty masih bayi, justeru pertumbuhannya sedikit sebanyak membantu mengembalikan semula organ berkenaan kepada saiz normal. Tetapi apa yang pasti, jantung orang dewasa tidak mampu untuk melakukannya.
Setelah bertahun-tahun berlalu, Kirsty terus mampu menjalani kehidupan seperti kanak-kanak yang seusia dengannya. Gaya hidup Kirsty langsung tidak menunjukkan yang dia mempunyai sebarang masalah kesihatan. Bahkan, dia juga berupaya melakukan apa sahaja aktiviti seperti manusia normal, termasuklah bermain ragbi untuk pasukan sekolahnya.
Sumber Infiniti
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Nasihat Mediabj tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.