“Cerita Raihan minggu lepas tentang penderitaan yang dilaluinya dalam masa tak sampai setengah tahun berkahwin, tetapi dia cepat sedar dan bertindak melepaskan dirinya dengan berjumpa orang yang pandai untuk berubat, berbanding saya yang diseksa zahir batin lebih 16 tahun.
“Mungkin kerana Raihan sudah berusia dan tahu sepak terajang orang golongan seperti itu yang gila berilmu hingga lupa Allah, apa lagi mengamalkan perintah-Nya. Saya pula `dikawal’ sejak masih menuntut lagi. Lagi pun saya masih muda, awal 20-an yang memang tak tahu pencak silat orang `berilmu’
“Penderitaan saya tersangkut dengan manusia `pendamping’ ini bermula pada semester akhir pengajian IPT di Utara semenanjung. Semuanya bermula apabila saya bertemu si kaunselor untuk berbincang masa depan saya, tentang peluang sambung belajar atau kerjaya selepas graduasi.
“Pertemuan pertama membawa kami berjumpa lebih kerap lagi atas nasihat kaunselor tersebut. Katanya, supaya dia boleh memberi pandangan lebih jelas tentang apa yang terbaik untuk saya. Entah kenapa kepercayaan saya kepadanya mengatasi nasihat kawan lain. Pada say,a kaunselor yang terbaik, saya namakan dia KH.
“Bermula minta nasihat, akhirya saya terjebak mendampingi dia lebih kerap lagi. Waktu itu apa sahaja katanya semua saya anggap terbaik. Persahabatan berterusan hinggalah saya bekerja dengan sebuah bank. Ketika itu hubungan kami bagaikan pasangan kekasih.
“Tahun demi tahun hubungan kami semakin erat hingga merunsingkan keluarga apabila saya menolak banyak lamaran yang datang. Lamaran bukan dari orang biasa biasa tetapi sudah berjawatan dan mempunyai pekerjaan yang baik. Alasan saya tolak konon belum bersedia berumahtangga.
“Sebenarnya saya harap KH meminang. Tetapi terhalang kerana KH sudah berkahwin. Entah kenapa kalau dulu saya tak suka suami orang, tetapi dengan KH hati saya sudah tersangkut. Memang saya berusaha melepaskan diri, jauhkan diri darinya, tak jawab telefon, tetapi gagal. Dia tetap kejar saya.
“Keluarga hairan kenapa saya tolak banyak pinangan. Saya pun hairan, saya berusaha jauhi KH, tetapi gagal. Setiap kali berjumpa KH, saya semakin ikut segala katanya hinggalah hubungan kami menjangkau enam tahun. Dah susah nak lari.
“Saya sedar saya sering tak sihat, termenung dan kenapa saya ikut kehendak KH. Saya cuba larikan diri tetapi gagal. Bila KH panggil saya terpaksa datang. Akhirnya saya hidup di bawah perintah KH. Di panggil datang, di perintah mesti ikut, waktu itu duit ringgit saya jadi miliknya terutama kalau dia minta untuk dia pergi seminar ke luar negara dan dia perlukan duit saya.
“Hubungan kami ada kalanya macam kekasih, tetapi lebih mengikut perintah, saya cuba larikan diri tetapi gagal. Akhirnya mungkin kerana hubungan kami disedari keluarganya, KH mula jauhkan diri. Saya fikir selamat dan saya mohon bertukar tempat kerja jauh ke KL. Saya fikir putuslah hubungan kami, tetapi KH lagi suka. Dia boleh datang jumpa tanpa rasa takut dan bimbang terlihat keluarga.
“Nak dijadikan cerita tak sampai tiga bulan di Kuala Lumpur, KH ajak saya nikah ke Siam. Punyalah bodoh saya setuju. Keluarga memang merasa amat kesal, tetapi takkan nak buang anak. Saya tetap diterima walaupun dalam kekesalan.
“Saya fikir selepas nikah tentu suami beri nafkah, tetapi saya terpaksa tanggung diri sendiri. Baru saya terasa susah dan sunyinya hidup bermadu sebab ditinggalkan sendirian. KH datang dua minggu atau sebulan sekali. Hidup semakin sempit sebab terpaksa bayar sewa rumah, utiliti dan sebagainya. KH pula kalau datang nak makan sedap-sedap di restoran terkenal. Saya kena bayar.
“Memang hidup di KL ketika itu aman, tak takut keluarga KH datang, maklumlah berkahwin dengan suami orang. Tetapi poket saya tidak aman. Kering. Peliknya saya tak berani minta duit dari KH. Saya takutkan dia. Duit saya selalu habis sebab KH minta. Ini buat hidup saya menderita, selalu sakit, termenung dan keresahan.
“Nak dijadikan cerita, walaupun sering sakit dan resah tetapi kerana subur, tak sampai setahun bernikah, saya mengandung. Aduh! Memang parah. Semua saya terpaksa buat sendiri, jumpa doktor, buat rawatan dan sakit muntah terpaksa tanggung sendiri. Kerana selalu sakit alahan mengandung, akhirnya saya minta tukar balik ke utara. Dan berjaya sebab bos hairan dengan kesihatan saya.
“Alhamdulillah saya selamat bersalin di utara dengan bantuan keluarga. KH memang tak datang, azankan anak pun tidak. Dia hanya datang kalau nak minta duit saya. Peliknya kalau belakang KH saya memang `angin’ sebab tak dapat nafkah, tetapi bila berdepan KH, saya tak berani bantah apa lagi minta nafkah anak atau bil hospital, semuanya kena tanggung sendiri.
“Nak jadikan cerita, satu malam ketika di hospital, KH datang bersama isterinya. Dan isterinya mengamuk sakan di hospital. Malam itu juga isterinya paksa dia balik ke Kedah kerana dia marah KH dah kahwin dan ada anak. Kerana takutkan isteri, KH langsung tak datang untuk beberapa bulan.
“Saya dapat tahu untuk mengelakkan KH rindukan anak saya, isterinya terus cari dan ambil anak angkat supaya KH boleh melupakan anak saya. Dan memang jelas isterinya ‘control’ duit ringgitnya, langsung menidakkan hak anak saya yang sah. Dia tak boleh kata anak tak sah taraf sebab lepas nikah di Siam saya daftarkan penikahan di negeri ini. Itu yang membuat isteri KH kawal pergerakannya.
“Ketika anak berusia dua tahun, saya tuntut nafkah anak di mahkamah PP. Saya berjaya dapat nafkah anak atas perintah mahkamah kerana KH malu kalau tak bayar nafkah sebab dia berjawatan tinggi. Pengarah oii… Tetapi selama setahun sahaja. Selepas itu dia terus tak bayar. Mungkin kena sekatan isterinya.
“Saya tuntut lagi tetapi gagal. Kehidupan saya ketika itu memang teruk, selain tanggung makan minum anak, saya terpaksa bayar hutang yang saya buat untuk beri pada KH ketika dia hendak berseminar ke luar negara.
“Bagi melangsaikan hutang dan perbelanjaan hidup, kawan yang faham masalah saya cadangkan buat bisnes. Dengan berani saya ambil tender kantin. Tunggang terbalik saya terpaksa buat dua kerja dalam satu masa. Yang teruknya terpaksa bangun pagi ke pasar beli keperluan untuk kantin. Semua saya buat sendiri.
“Sakitnya perniagaan tak berjalan lancar, maklumlah bila duit ringgit diuruskan oleh orang. Bukan tak percaya tetapi terpaksa terima hakikat wang boleh gelapkan mata. Selain itu, kantin saya diganggu oleh penyewa lama yang bermasalah.
“Akhirnya saya terpaksa mengaku kalah dan terpaksa serahkan tender kantin kepada tuannya. Makna kata, saya terpaksa kembali ikat perut untuk besarkan anak selain terpaksa membayar hutang bank dan dari saudara mara.
“Kepayahan hidup membuat saya selalu tak sihat dan sakit. Tetapi KH tambah penderitaan saya terus meminta duit untuk dia berseminar keluar negara. Peliknya saya tak berani tolak, walaupun saya susah. Saya jadi macam orang bodoh cari duit, pinjam mana yang dapat untuk KH, sedangkan KH tak pernah bagi nafkah.
“KH sering berseminar ke Australia, Korea, Jepun, Kanada, Thailand, Indonesaia AS, London dan banyak lagi. Selalunya dia minta antara RM4k hingga RM5k. Saya terpaksa sediakan. Bila balik dia tak pernah beli sebiji hadiah untuk saya kecuali untuk anak-anak dan isterinya sahaja.
“Oleh keadaan hidup saya terdesak dan susah, seorang kawan melihat kelainan hidup saya. Katanya, saya sakit, selalu tak sihat tetapi mengapa tak berubat, dia nasihatkan saya jumpa ustaz yang mungkin boleh ubatkan saya. Kerana ketika itu keadaan saya macam orang tak keruan dan tak terurus.
“Amat mengejutkan, saya diberitahu hidup saya di bawah kawalan orang. Katanya bukan melalui makanan atau angin tetapi dengan asap rokok. Pelik. Tetapi baru saya sedar setiap kali berjumpa dan makan, KH mesti merokok dan hembuskan rokoknya kepada saya dan ke atas makanan saya. Sebab itu agaknya bila berdepan KH saya ikut apa sahaja permintaannya.
“Selepas beberapa bulan berubat baru saya jadi berani, tersedar diri dan tidak mahu tunduk dengan kehendak KH. Ketika itu baru saya berani buat tuntutan nafkah dan fasakh. Tetapi KH tetap tak mahu ceraikan saya. Dia datang nak jumpa, saya larikan diri sebab saya takut terkena lagi. Ketika itu baru saya ada keberanian menentangnya, tapi tak berani bertentang mata.
“Enam tahun saya digantung tak bertali, akhirnya awal tahun lepas saya dicerai dengan syarat saya tidak boleh tuntut mutaah dan harta sepencarian. Sebab dia takut saya tuntut dua buah rumahnya termasuk banglo mewah dan saya tak boleh tuntut duit dia sepanjang perkahwinan kami. Sebab dia banyak duit lepas bersara.
“Saya bersabar dan setuju asalkan dapat cerai. Sebab saya mahu terlepas dari hidup bawah kawalannya yang buat saya takut dan ikut setiap kehendaknya. Tetapi saya akan tuntut juga nanti terutama hutang yang dia paksa saya buat untuk dia berseminar.”
Itu azam Nasirah untuk terus menuntut haknya, walaupun memakan masa panjang terutama keadaan mahkamah syariah yang tidak pernah memihak kepada kaum wanita, apa lagi nasib anak mangsa cerai yang tidak dapat nafkah.
Sumber DCCK
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.