Apakah Segala Kebaikan Cristiano Ronaldo Membantu Maghribi Beroleh Ganjaran Dari Allah?

 

empa bumi paling dasyat berlaku di Maghribi berukuran 7 pada skala richter sehingga mengorbankan hampir 3,000 orang dan lebih 5,000 cedera, manakala sekurang-kurangnya 50,000 rumah runtuh dan ranap.

Kemusnahan dalam skala yang besar ini menyebabkan bintang bola sepak Cristiano Ronaldo membuka pintu hotelnya di Maghribi, Hotel Pestana CR7 sebagai tempat perlindungan buat mangsa yang hilang tempat tinggal dalam kejadian tersebut.

Kemurahan hati Ronaldo bukan setakat itu, malah sebelum ini dia pernah menjual trofi kasut emas pada 2011 yang dimenanginya untuk pembangunan sekolah di Gaza. Dia juga turut melelong salah satu trofi Ballon d’Or yang diraihnya pada 2013 dan menyumbangkan kesemua wang tersebut untuk sebuah yayasan amal kanak-kanak. 


Sememangnya ada terlalu banyak amal kebajikan yang dilakukan Ronaldo ketika ini dan bukan dia sahaja, malah ramai lagi orang yang melakukan kebaikan dan kebajikan seperti Ronaldo di dunia ini. Di dalam syariat Islam, bagi orang yang melakukan amal kebaikan, membantu setiap makhluk yang di dalam kesusahan, maka mereka akan beroleh ganjaran yang sangat besar dari Allah S.W.T. bukan sahaja di dunia malah di akhirat nanti. Semuanya akan dikira waima amalan sekecil zarah pun tetap juga diperhitungkan.

Namun sayangnya bagi orang-orang seperti Ronaldo ini yang belum Islam maka segala amalan mereka ibarat fatamorgana di padang pasir. Hanya ilusi di pandangan mata bukan realiti yang boleh dirasa. Dalam hal ini Aisyah r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.

“Wahai Rasulullah, Ibnu Juz’an dahulu masa jahiliyah selalu menjaga hubungan silaturrahim dan memberi makan fakir miskin. Apakah itu berguna baginya di akhirat nanti?” Rasulullah menjawab,

“Tidak akan berguna baginya, kerana dia tidak pernah mengucapkan “Ya Allah! Ampunilah dosa-dosaku di hari Pembalasan nanti” (HR Muslim)  

Adapun perkara kebaikan dan amal kebajikan yang dilakukan oleh orang yang belum Islam di atas dunia akan dibalas Allah dengan balasan kebaikan di dunia sahaja namun tidak di akhirat. Firman Allah dalam surah al-Furqan: 23 menyebutkan,

“Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu berterbangan”

Imam al-Qurtubi mengatakan dalam tafsirnya bahawa ayat di atas menerangkan keadaan orang belum Islam di akhirat kelak. Amalan baik mereka di akhirat kelak tidak akan dihitung oleh Allah kerana tiada manfaat. Ini kerana mereka hidup dalam keadaan batil dan kafir.

Maka setiap amalan kebaikan akan menjadi debu seperti tanah yang asalnya kelihatan namun apabila ditiup debunya berterbangan dan hilang begitu sahaja.

Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili pula dalam tafsirnya mengatakan, amalan baik orang bukan Islam seperti memuliakan orang lain, sedekah, membebaskan tahanan, memberi perlindungan kepada mereka yang memerlukan, serta amal kebajikan mereka yang lain tidak akan dapat menyelamatkan mereka di akhirat kelak.

Allah menjadikan amalan-amalan tersebut hancur lebur sehingga tidak bermanfaat dan memberi kebaikan sama sekali, lantaran mereka tidak memiliki syarat secara syariat untuk diterima sesuatu amalan iaitu mengerjakannya kerana Allah dan sesuai dengan syariat-Nya.

Walaupun begitu, amalan orang bukan Islam di atas dunia akan dibalas dengan kebaikan di atas dunia juga, sebagai bukti bahawa sifat Maha Penyayang Allah yang kasihkan akan hamba-Nya. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.,

“Sesungguhnya orang kafir jika dia melakukan amalan kebaikan, maka dia akan dibalas dengan kebaikan di atas dunia. Ada pun orang yang beriman, Allah akan membalas amalan kebaikannya di akhirat kelak, dan menyediakan ganjaran rezeki di atas dunia kerana ketaatannya. Dalam riwayat yang lain:

Sesungguhnya Allah tidak menzalimi seorang mukmin yang membuat amalan kebaikan kerana dia akan diberi balasan kebaikan di atas dunia, dan akan dibalas juga di akhirat kelak. Ada pun orang kafir mereka akan diberi ganjaran kebaikan di atas dunia terhadap perbuatan mereka tetapi di akhirat kelak tiada ganjaran yang akan diberikan” (HR Muslim)

Jadi sebanyak mana pun amal kebaikan yang dilakukan waima sebesar gunung pun oleh Ronaldo atau mereka yang lain belum Islam ia akan dibalas hanya di dunia sahaja berupa rezeki, kesihatan, kasih sayang dan lain-lain, sebaliknya amal tersebut hanya menjadi sia-sia untuk perhitungan akhirat nanti.

Wallahu a’lam

Sumber Maslahah Ummah

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.