Fikiran Melayang Ketika Solat, Bagaimana Status Ibadah Kita, Ikuti Penjelasan Ini

 

Manusia semamangnya tidak boleh lari daripada berfikir. Ada sahaja perkara yang terlintas dalam ruang fikiran walaupun sedang melakukan kerja-kerja lain.

Ia termasuklah ketika sedang menunaikan solat. Entah mengapa dirasakan kita tidak habis-habis berfikir meskipun sedang menghadap Allah SWT.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, berfikir-fikir ketika solat sebenarnya memang hampir berlaku kepada semua orang.

Malah, katanya, Imam al-Bukhari turut meletakkan perkara itu sebagai salah satu bab bertajuk ‘Bab mengenai seseorang yang memikirkan sesuatu dalam solatnya’ menerusi kitab dikarangnya.

Perawi hadis tersohor itu kemudian menukilkan kata-kata daripada Umar bin al-Khattab RA: “Sesungguhnya aku mempersiapkan tenteraku (memikirkan mengenainya), ketika aku sedang menunaikan solat.” (Sahih al-Bukhari)

Mengulas lanjut, agamawan itu menjelaskan, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani juga pernah menukilkan daripada al-Muhallab yang menyebut bahawa berfikir adalah perkara kebiasaan yang tidak mungkin dihindari oleh seseorang sama ada di dalam solat mahupun di luar sembahyang setelah Allah SWT menjadikan syaitan-syaitan itu ‘jalan’ ke atas manusia untuk menggoda mereka.

“Bahkan, Rasulullah SAW sendiri pernah teringat akan harta yakni emas yang berada di dalam rumahnya yang belum lagi dibahagikan ketika sedang mendirikan solat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi maktabahalbakri.com.

Ia sebagaimana diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin Harith RA, beliau berkata: “Aku menunaikan solat Asar bersama Rasulullah SAW. Apabila selesai memberi salam, baginda SAW segera berdiri dan masuk ke rumah salah seorang daripada isterinya. Kemudian, baginda keluar dan melihat orang ramai terkejut disebabkan ketergesaannya, lalu baginda SAW bersabda: “Aku teringat ketika aku sedang menunaikan solat tentang emas yang kami miliki. Aku tidak suka jika sampai waktu petang – atau bermalam – emas itu masih ada pada kami. Maka aku pun memerintahkan supaya ia dibahagikan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dr Zulkifli kemudian memetik pandangan al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani yang menyatakan, hadis itu secara zahirnya menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak mengulangi solatnya semula disebabkan perkara tersebut.

“Bahkan, sarjana Islam terkemuka itu menjelaskan, berfikir-fikir di dalam solat tidak menyebabkan solat seseorang itu menjadi tidak sah, selagi mana dia tidak meninggalkan mana-mana rukun solat.

“Dalam kalangan ulama, ada yang berpendapat bahawa berfikir-fikir dalam solat diharuskan sekiranya ia sedikit. Adapun, memikir secara terus-menerus dalam tempoh yang panjang sehingga tidak tahu berapa rakaat yang dilakukan, maka ia termasuk orang yang lalai dalam solatnya dan wajib mengulanginya semula. Demikian pandangan Ibn al-Tin.

“Bagaimanapun, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani pula tidak bersetuju dengan pendapat tersebut,” katanya.

Tidak digalakkan berfikir, berkhayaI

Sebaliknya, ulama Mazhab Syafie itu berhujah bahawa Saidina Umar RA pernah memikirkan suatu perkara yang memerlukan suatu tempoh panjang seperti menghitung jizyah (cυkai) yang terkumpul di Bahrain, sedangkan ketika itu khalifah berkenaan sedang mendirikan solat, ungkapnya.

“Diceritakan bahawa Saidina Umar RA juga pernah terlupa membaca Surah al-Fatihah ketika menunaikan solat fardu Maghrib kerana sibuk memikirkan mengenai rombongan yang beliau telah siapkan ke negeri Syam.

“Apabila menyedarinya, beliau mengulangi semula solatnya dan bacaan Surah al-Fatihah tersebut. Kemudian, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani menyimpulkan, ia menujukkan beliau mengulangi solatnya kerana meninggalkan bacaan Surah al-Fatihah dan bulannya disebabkan oleh tenggelam dalam fikirannya,” katanya.

Berdasarkan perbahasan tersebut, Dr Zulkifli menyimpulkan, baik sedikit ataupun banyak seseorang itu berfikir-fikir ketika sedang solat, ia tidaklah membatalkan sembahyangnya selagi mana seseorang itu tidak meninggaIkan rukun-rukun solat.

“Bagaimanapun, jika perkara yang difikirkan itu tidak berkaitan dengan solat dan banyak, hukumnya adalah makruh. “Begitu jugalah halnya jika seseorang memikirkan hal ehwal perempuan semasa mendirikan solat, sembahyangnya tetap sah sekiranya tiada apa-apa perkara yang membatalkannya seperti keluar sesuatu daripada kemaluannya yakni air mazi dan seumpamanya disebabkan oleh fikiran atau khayalannya,” katanya.

Meskipun solat dikerjakan tetap dianggap sah dan tidak batal, mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu mengingatkan bahawa perbuatan berkhayal atau berfikir dalam tempoh lama atau banyak itu bukanlah suatu perkara yang digalakkan.

“Apatah lagi jika berfikir atau berkhayal mengenai perkara yang haram. Oleh itu, perbuatan tersebut hendaklah dihindari semampu mungkin.

“Di samping itu, kita juga dituntut untuk menghadirkan sepenuh hati dan khusyuk ketika menunaikan solat serta menghayati segala bacaan di dalamnya.

“Khusyuk dalam solat merupakan salah satu ciri orang beriman yang berjaya sebagaimana dinyatakan dalam ayat 1, Surah al-Mukminun,” titip beliau.

Raih khusyuk ketika solat

Walaupun solat yang dilakukan dalam keadaan tidak khusyuk itu tidak membataIkan solat seseorang, tetapi ia boleh mengurangkan pahala sembahyang dan menjadikan solat seseorang itu tidak sempurna.

“Jika seseorang melakukan perkara-perkara yang boleh menghalang kekhusyukan seperti banyak bergerak, berfikir perkara-perkara yang tiada kaitan dengan solat, banyak beralih ke kiri dan kanan, maka perbuatan tersebut adalah dimakruhkan,” jelas artikel berkenaan.
.
Berikut merupakan antara cara untuk khusyuk dalam solat sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Ghazali:

i. Menghadirkan hati ketika solat. Justeru, hendaklah berusaha membuang semua perkara duniawi yang tidak berkaitan dengan solat dan tiada hubungan dengan Allah.

ii. Memahami semua makna yang dilafazkan dalam solat seperti makna bacaan Surah al-Fatihah, lafaz ketika rukuk dan lain-lain.

iii. Mengagungkan ALLAH dengan perasaan bahawa diri kita sangat kerdil dan hina di depan ALLAH SWT yang MAHA AGUNG.

iv. Menzahirkan rasa kehebatan ALLAH SWT dengan menghadirkan rasa takut dan gerun kita kepada-NYA.

v. Penuh pengharapan kepada ALLAH dengan sentiasa menaruh harapan agar amalan solat kita akan diterima oleh-NYA.

vi. Merasa malυ kepada ALLAH atas kekurangan dan kelemahan diri kita.

Ayuh kita sedaya upaya meraih khusyuk ketika ‘bertemu’ ALLAH SWT. Ketahuilah bahawa syurga Firdaus menanti bagi orang yang khusyuk dalam solatnya.

Renungkanlah bait mutiara yang pernah diungkapkan oleh Ibn al-Qayyim dalam kitab Madaarij al-Saalikin yang berbunyi: “Solat orang-orang munafik adalah solat anggota badan, bukannya solat jantung hati.”

Sumber Sinar Islam

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.