Merukyah Itu Boleh, Tetapi Meminta Untuk Dirukyah Itu Tidak Boleh

 

Dalam sebuah hadis yang panjang dari Ibnu Abbas r.a. Baginda Rasulullah s.a.w. ada menyebutkan tentang orang Islam yang masuk ke syurga tanpa perlu dihisab hanyalah berjumlah 70 ribu orang.

Sabda Baginda s.a.w. “….Maka sampailah hal itu kepada Nabi s.a.w. lalu Baginda keluar dan berkata “Mereka adalah orang yang tidak minta dirukyah (dijampi), tidak meramal nasib atau mempercayai petanda sial dan tidak menggunakan pengubatan dengan besi (yang dilarang) dan hanya kepada Allah lah mereka bertawakkal.” (HR Bukhari)

Ciri pertama dari hadis ini menerangkan tentang umat nabi Muhammad s.a.w. yang menuju ke syurga tanpa hisab, iaitu orang yang tidak minta dirukyah.

Dalam riwayat Muslim disebutkan “laa yarqun”, ertinya tidak merukyah. Ayat ini terdapat sedikit kekeliruan kerana perbuatan merukyah ini adalah perbuatan yang ada pada zaman Rasulullah s.a.w. dan orang yang merukyah juga adalah orang yang berbuat baik. Padahal Nabi s.a.w. ketika ditanya tentang rukyah, Baginda s.a.w bersabda,

“Siapa yang mampu di antara kalian untuk memberi kemanfaatan pada saudaranya, maka lakukanlah” (HR Muslim).

Sementara itu, ‘Auf bin Malik juga pernah berkata,

“Kami dahulu pernah merukyah di masa jahiliyah, kami berkata, “Wahai Rasulullah, bagaimana pendapatmu tentang rukyah yang kami lakukan? Baginda bersabda, “Tunjukkan rukyah kalian. Yang namanya rukyah tidaklah mengapa selama tidak ada kesyirikan di dalamnya” (HR Abu Daud).

Alasan lainnya, merukyah orang lain tidaklah masalah kerana Jibril pernah merukyah Nabi s.a.w. begitu pula Nabi s.a.w. juga pernah merukyah para sahabatnya. Justeru apa yang dikatakan meminta rukyah itu tidak tergolong dalam golongan mereka yang masuk syurga tanpa hisab?

Menjelaskan perkara ini menurut Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr. A. Irwan Santeri Doll Kawaid al-Nadwi, perbezaannya adalah di antara mereka yang merukyah orang dan orang yang meminta dirukyah.

Mengenai kesemua bukti dan hadis di atas, itu menunjukkan orang yang merukyah, disebabkan itu Nabi s.a.w. tidak mengatakan larangannya. Namun dalam hadis 70,000 ke syurga tanpa hisab, disebut ialah orang yang meminta dirukyah. Itulah perbezaannya.

Ini bermakna, mungkin Rasulullah s.a.w. bimbang orang yang minta dirukyah itu hatinya lebih cenderung untuk bergantung selain dari Allah. Adapun orang yang merukyah orang lain adalah contoh perbuatan baik. Disebabkan itu ciri tersebut terkandung dalam hadis di atas.

Dr. A. Irwan juga memberitahu Nabi s.a.w. sendiri tidak pernah minta dirukyah, walaupun ada ketika Jibril dan isteri Baginda, Aisyah pernah merukyah Baginda. Namun mereka merukyah tanpa diminta oleh Rasulullah s.a.w.

Asy-Syaikh Abdur Rahman bin Hasan bin Muhammad bin Abdul Wahhab dalam kitabnya Fathul Majid ada menyebut

“Dan perbedaan antara orang yang merukyah dan yang meminta rukyah, bahwasannya orang yang meminta rukyah adalah orang yang memohon, meminta suatu pemberian seraya menoleh kepada selain Allah taala dengan hatinya, sedang orang yang merukyah adalah orang yang berbuat baik (kepada yang dirukyah).”

Tambahan lagi, Syeikh Ibnu ‘Utsaimin dalam kitab Al-Qoulul Mufid menyebut,

“Mereka yang tidak minta dirukyah kepada sesiapapun kerana kuatnya penyandaran diri mereka kepada Allah. Juga tanda mulianya jiwa mereka dari merendahkan diri kepada selain Allah dan akhirnya disebabkan perbuatan itu ada bentuk kebergantungan kepada selain Allah taala.”

Tuntas Dr. A. Irwan Santeri lagi, disebabkan tiada hadis yang melarang perbuatan rukyah, jadi ia dibolehkan selagi mana ia masih berlandaskan syariat. Kerana setiap penyakit ada penawarnya. Nabi s.a.w. pernah bersabda,

“Allah tidaklah menurunkan penyakit melainkan menurunkan pula penawar (ubatnya)” (HR Bukhari).

Namun, harus diingat bacaan rukyah itu mesti berpandukan al-Quran, hadis, dan dari ulama. Adapun begitu, perbuatan meminta rukyah adalah lebih afdal ditinggalkan jika ingin tergolong dalam golongan 70,000 ke syurga tanpa hisab.

Wallahu a’lam

Sumber Kisah Ghaib

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.