Fitrahnya manusia dilahirkan adalah baik, suci dan tidak ada istilah sudah takdir untuk menjadi jahat. Ia seperti yang disebut di dalam firman Allah di dalam surah al-A’raf: 172,
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun temurun) dari tulang belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya) “Bukankah Aku Tuhan kamu?” mereka semua menjawab; “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.” Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak; “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.”
Menurut Pengerusi Bir0 Dakwah, Kursus dan Seminar, Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI), Mohd Abadi Amir, ayat itu menyebut tentang perjanjian roh dengan Allah. Dari situ jelas bahawa roh itu sebelum ditiupkan ke jasad, fitrahnya baik. Malangnya, apabila roh itu masuk ke jasad, ia mula terhijab daripada kebesaran Allah, kita lupa akan keagungan Allah.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW…
“Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi seorang Yahudi, seorang Nasrani mahupun seorang musyrik.” Lalu seorang laki-laki bertanya, “Ya Rasulullah! Bagaimana pendapat engkau kalau anak itu mati sebelum itu?” Beliau menjawab, “Allah lebih tahu tentang apa yang pernah mereka kerjakan.”
Anak itu dilahirkan di atas dasar fitrah, dari situ kita pasti memang manusia dilahirkan pada asalnya adalah baik tetapi keadaan persekitaran, pendidikan dan orang sekeliling mempengaruhinya. Hadis dari Anas bin Malik katanya,
“Seorang Arab Badwi bertanya kepada Rasulullah, tentang bila kiamat terjadi? Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya, “Apakah yang telah engkau persiapkan untuknya?” Badwi itu berkata, “Aku mencintai Allah dan Rasul-Nya.” Baginda bersabda, “Engkau bersama yang engkau cintai.”
Untuk melihat siapa kita maka tengoklah siapa sahabat kita, jika bergaul dengan pembunuh maka tidak mustahil kita akan jadi pembunuh.
Bolehkah manusia yang fitrahnya baik menjadi kering hati? Sudah tentunya boleh, jawab Mohd Abadi. Kemudian menyambung dengan alasan, terutamanya mereka yang tidak solat dan tidak ada iman. Selagi ada iman di dalam hati walaupun sebesar zarah, maka kita akan kembali kepada Allah juga akhirnya kerana keyakinan bahawa Allah melihat apa yang kita lakukan.
Setiap orang kena belajar asas di dalam agama iaitu Islam, iman dan ihsan. Hal itu ada disebut di dalam satu peristiwa di mana Jibril bertanya pada Rasulullah tentang Islam, iman dan ihsan. Tentang Islam adalah rukun Islam iaitu mengakui tidak ada tuhan selain Allah dan Muhammad pesuruh Allah, mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadan dan menunaikan haji.
Kemudian Iman pula adalah beriman kepada Allah, dengan malaikat, kitab-kitab-Nya, Rasul-Nya, hari kiamat, qada dan qadar.
Rukun Islam dan Iman adalah ikrar atau keyakinan yang disertai dengan tindakan. Manakala ihsan adalah nilai tambah untuk menjadikan kita Muslim yang baik. Sabda Rasulullah,
“Ihsan ialah menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekalipun engkau tidak melihat-Nya sesungguhnya Dia melihatmu.”
Jika sentiasa ingat bahawa Allah itu ada dan Dia yang Maha Berkuasa mentadbirkan seluruh isi alam maka kita akan lebih sabar dan tidak ada kesanggupan untuk meragut nyawa orang lain.
JAHAT DISEBABKAN UNSUR ASING.
Sedangkan pada asalnya manusia dilahirkan fitrahnya adalah baik tetapi bertukar menjadi sejahat-jahatnya manusia. Pelik bukan? Mengikut kaedah imam Ghazali, kalau ada yang luar biasa tentulah ada sesuatu yang luar biasa di dalam tubuh badan seseorang.
Menjelaskan hal itu, Mohd Abadi mengatakan jika berlaku sesuatu perangai yang pelik atau perlakuan luar biasa pada diri manusia pastinya ada campur tangan makhluk lain seperti jin, syaitan dan makhluk halus.
Misalnya semua orang nakal tetapi yang jahat luar biasa hingga sanggup membunuh orang dan kering hatinya itu juga petanda ada sesuatu yang luar biasa di dalam tubuh. Begitu juga halnya dengan malas. Semua orang malas tetapi malas luar biasa hingga tidak mahu solat dan mengerjakan ibadat yang lain itu memang dianggap luar biasa.
Satu contoh yang paling mudah ada keletihan, memang semua orang letih tetapi apabila letih yang keterlaluan bukan kerana kerja ia pastinya ada sebab lain di dalam tubuh.
Ujarnya, Islam ada caranya untuk mengatasi sesuatu situasi yang luar biasa, misalnya, jika mengantuk sangat disuruh kira ambil wuduk, kalau masih tidak berupaya untuk menghilangkannya disuruh pula mandi, sampai tahap itu sekali Islam memberikan jalan untuk penyelesaiannya.
Jika kita tidak mahu ikut kaedah yang diajarkan oleh Islam maka terjadilah seperti apa yang terjadi pada hari ini. Segala masalah dari rasa kecewa, sedih, tekanan, iri hati, dengki, marah dan tidak puas hati semuanya akan berakhir dengan pembunuhan. Nyawa menjadi murah bila tidak ada lagi pegangan kepada agama.
Sambungnya, keadaan akan menjadi semakin teruk apabila campur tangan jin di dalam badan. Jin yang masuk ke dalam tubuh badan kita boleh menzahirkan pada setiap tubuh badan seperti mimik muka, bau badan, perasaan, tindakan, tingkah laku dan warna kulit.
Jika jin yang masuk itu hebat dan garang maka orang itu akan menjadi garang. Jika penyabar maka orang itu pun akan menjadi penyabar kadang-kadang sabarnya tidak kena pada tempatnya, keterlaluan hinggakan isteri berzina pun tidak diambil tindakan.
Begitu juga halnya jika orang Islam menjadi pembunuh upahan, selain gangguan jin ia juga ada kaitan dengan gerakan melatih roh menjadi jahat. Dalam hadis Nabi ada menyebut, roh itu seperti tentera yang dilatih. Maksudnya ia boleh dilatih menjadi seperti mana yang kita inginkan.
Perumpamaannya senang saja, jika seseorang itu perokok maka ia akan serasi dengan perokok. Peminat motor akan bersama orang yang minat motor, remaja dengan remaja. Memang kita nampak macam keserasian kerana mempunyai hobi yang sama atau pun umur sebaya tetapi sebenarnya roh yang cari persamaan itu. Jika roh baik maka ia akan mencari roh yang sama begitu juga sebaliknya.
Roh Islam dilatih jadi baik maka baiklah orang tapi apabila dilatih menjadi jahat maka jahatlah ia.
Wallahu a’lam
Sumber Al-Islam
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.