Ketua projek berkenaan yang juga pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Zaifilla Farrina Zainuddin berkata, prototaip produk yang diperbuat daripada bahan plastik high-density polyethylene dan keluli tahan karat itu mempunyai elemen penapis halus yang mampu menapis dan menjadikan minyak terpakai berada dalam keadaan ideal sebelum diproses menjadi biodiesel.
"Penapis pada bekas diinovasi ini akan memudahkan dan menjimatkan masa kerana mampu menapis makanan seperti sambal yang bercampur dengan minyak sehalus mungkin berbanding bekas dan penapis yang ada di pasaran sekali gus memudahkan vendor kitar semula," katanya.
Menjelas lanjut, Zaifilla Farrina berkata, idea untuk menghasilkan produk berkenaan tercetus pada Januari tahun lepas apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) berkongsi tentang isu sistem saluran sinki tersumbat yang sering berlaku di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
"Tabiat suka membuang sisa minyak masak terpakai di sinki akan membuatkan ia terkumpul dalam saluran, seterusnya menyebabkan sistem perparitan tersumbat, selain menggalakkan pembiakan haiwan perosak seperti tikus dan lipas.
"Sikap ini bukan sahaja mencemarkan persekitaran dan alam sekitar, malah juga akan menjejaskan kesihatan masyarakat," katanya.
Jelas Zaifilla Farrina, produk inovasi diusahakan oleh pensyarah UniKL MIDI di bawah seliaan Yayasan UniKL itu kini berada pada peringkat paten reka bentuk selain masih mengkaji material terbaik untuk produk sebenar.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk mengkomersialkan produk berkenaan selewat-lewatnya pada hujung tahun ini dan berharap akan mendapat kerjasama daripada pihak pembuatan yang boleh merealisasikan reka bentuk itu.
Tambahnya lagi, pihaknya juga sedang membuat kajian untuk mereka bentuk vending machine atau mesin layan diri yang akan mengumpulkan minyak masak terpakai dalam skala besar di setiap perumahan bagi memudahkan masyarakat menguruskan sisa berkenaan.
"Biasanya vendor kitar semula akan membeli dalam kuantiti banyak, jadi apabila ada vending machine ini, orang ramai pun tidak perlu tunggu terlalu lama untuk menyimpan minyak masak terpakai ini sebelum dijual atau rasa remeh kerana perlu jual mengikut jadual pada hari-hari tertentu," katanya.
Beliau berkata, kesedaran masyarakat tentang kepentingan dan kitar semula minyak masak terpakai yang mampu menjana pendapatan tambahan dalam kalangan masyarakat juga masih rendah.
"Pihaknya kini bekerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Alam Flora untuk memberi kesedaran kepada masyarakat termasuk di PPR," ujarnya.
Sumber Bernama
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.