“Yang ini abang sulung saya, Abu Bakar bin Tamin. Yang ini pula, bekas gabenor Bank Negara Malaysia yang pertama, Tun Ismail Ali. Yang tu kerabat diraja Kedah, Tengku…” tutur Tok Teh Chad sambil memperlihatkan beberapa keping foto hitam putih kepada kami.
Kami kagum dengan tahap ingatan Tok Teh Chad yang masih kuat. Sekalipun keadaan fizikalnya kurang sihat, namun ingatannya masih jelas untuk memperkenalkan yang itu dan yang ini di dalam foto tersebut. Dia terus menyambung bicara…
“Ketika ini abang saya, Abu Bakar berusia 22 tahun. Saya pula baru berusia 12 tahun. Foto tersebut diambil di United Kingdom, ketika dia melanjutkan pelajaran di sana atas tiket Queen Scholar atau biasiswa Queen Elizabeth. Masa tu, hanya ada beberapa orang sahaja anak Melayu yang memperoleh biasiswa tersebut.
“Dia pergi ke sana ketika Perang Dunia Kedua berlaku. United Kingdom adalah salah satu negara Tentera Bersekutu. Manakala di Tanah Melayu sendiri, pendudukan Jepun sudah pun bermula,” cerita lelaki yang juga merupakan bekas guru ini.
Jelas Tok Teh Chad, semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, mereka sekeluarga telah terputus hubungan dengan Abu Bakar. Segala surat dan telegram yang dihantar oleh abang sulungnya itu, langsung tidak diterima.
“Ketika itu kami sekeluarga menetap di Gerik, Perak. Ayah saya, Tamin bin Abdullah berkhidmat sebagai guru besar di sebuah sekolah di sana. Pihak Jepun langsung tidak membenarkan sebarang perhubungan dengan dunia luar. Surat, radio, televisyen atau mesin telegram yang ada di rumah-rumah atau pejabat kerajaan, semua akan dirampas. Kalau ada sesiapa yang simpan radio secara rahsia, siap! Mereka pasti akan diseksa. Jepun bimbang strategi dan kegiatan mereka di Tanah Melayu terdedah kepada pihak musuh.Sebab itu, segala medium perhubungan dikekang,” ceritanya lagi.
Jelas Tok Teh Chad, daerah Gerik merupakan kawasan pedalaman, jadi agak sukar untuk mereka mendapatkan info dari dunia luar. Ketika itu, sebarang berita atau komunikasi hanya disampaikan dari mulut ke mulut sahaja. Keadaan itu berlangsung selama tiga tahun lapan bulan iaitu sepanjang tempoh pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
“Selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, barulah kami dapat berhubung dengan dunia luar. Keluarga saya cuba untuk hubungi Abu Bakar di United Kingdom bertanyakan khabarnya. Namun, kami diberitakan bahawa Abu Bakar telah meninggal dunia beberapa bulan selepas dia berangkat ke United Kingdom. Dia menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1942 ketika berusia 22 tahun akibat penyakit batuk kering. Arwah telah dikebumikan di sana dan segala urusan pengebumian ditampung oleh duit biasiswa yang diperoleh sebelum ini.
“Ketika itu, penyakit batuk kering salah satu wabak kronik yang menyerang dunia. Siapa yang menghidapi penyakit itu pasti menemui ajal,” kata Tok Teh Chad yang belum pernah berpeluang mengunjungi pusara arwah abangnya di sana.
Beberapa tahun selepas itu, iaitu ketika Tun Ismail Ali yang merupakan abang ipar kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik menjadi gabenor Bank Negara Malaysia, Tok Teh Chad telah menulis surat kepada beliau untuk bertanyakan tentang perkara sebenar yang berlaku kepada abangnya.
“Dalam surat tersebut saya nyatakan bahawa saya adalah adik kepada Abu Bakar. Saya bertanya kepadanya, adakah benar arwah abang saya sudah meninggal dunia disebabkan penyakit batuk kering?
“Surat saya itu kemudiannya berbalas. Benar, dia telah mengesahkan bahawa abang saya memang meninggal dunia disebabkan penyakit batuk kering. Selain Abu Bakar, ada empat orang lagi rakannya yang merupakan penuntut Malaysia juga meninggal dunia di sana disebabkan penyakit sama,” cerita lelaki tua itu.
Orang Jepun sebenarnya baik, tapi…
“Ketika Jepun masuk Tanah Melayu dulu, orang Melayu bersorak sebab orang putih sudah keluar. Mereka cakap, biarlah Jepun jadi pemerintah kita. Nanti barang murah. Ramai orang di kampung saya termakan propaganda licik Jepun dengan slogan ‘Asia untuk Orang Asia’,” jelasnya.
Namun kata Tok Teh Chad, semua itu tidak berlaku. Bekalan makanan sangat terhad. Susah untuk mendapatkan beras kerana ia dicatu. Ramai yang mengalas perut dengan makan ubi kayu dan keledek.
“Ketika itu, saya dan arwah bapa membuka kedai runcit di pekan Gerik. Tetapi bekalan makanan seperti tepung, beras dan gula sangat kurang kerana tidak sampai ke kawasan kami.
“Perkara ini berlaku sebab negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu yang jadi pengeluar beras telah diserahkan oleh pihak Jepun kepada Siam. Tambahan pula bekalan makanan yang dihantar dari Jepun tidak dapat masuk ke Tanah Melayu kerana kapal yang membawanya telah dibedil Tentera Bersekutu. Jadi, semua makanan di sini terpaksa dicatu.
“Masa tu, lori nak angkut barang pun hanya ada sebiji sahaja di Gerik. Itu pun lori berkuasa wap. Jadi, nak ambil bekalan dari pekan agak susah dan mengambil masa yang lama. Cuba bayangkan, nak panaskan enjin lori pun makan masa satu jam. Nak bakar arang lagi… berlemuih!
“Hanya sesekali sahaja kami menerima bekalan makanan untuk dijual, namun dalam masa singkat semua barangan itu habis dibeli oleh penduduk kampung,” cerita Tok Teh Chad lagi.
Sepanjang pengalamannya membuka kedai runcit, tidak pernah sekalipun pihak Jepun datang merampas barang makanan di kedainya. Katanya, hubungan antara Jepun dan orang Melayu di Gerik ketika itu agak baik.
“Tidak semua orang Jepun itu terlalu bengis seperti yang digambarkan. Kebanyakan yang kejam dan bongkak itu ialah tentera-tentera bawahan yang terdiri daripada tahanan perang warga Korea dan Taiwan. Pihak Jepun telah rekrut mereka ni untuk jadi tentera.
“Walaupun hubungan orang Jepun dan Melayu agak baik, tetapi Jepun sangat anti dengan Cina. Mereka berdendam sebab penentangan negara China terhadap Jepun ketika Perang Dunia Kedua.
“Sebab itu askar Jepun pantang nampak Cina, mesti nak bunuh. Mereka ditikam dengan benet – senapang yang ada bilah pisau atau dipenggal kepala. Cina dalam bandar semua pucat, takut kat Jepun. Ramai Cina lari masuk hutan bersembunyi.
“Masa tu, beberapa orang Melayu yang bersimpati dengan Cina pergi menghantar bekalan makanan untuk mereka. Ketika dalam hutan, orang-orang Cina ni usahakan penanaman tembakau sebagai sumber pendapatan.
“Saya sendiri pernah lihat bagaimana seorang Cina di kampung kami diseksa teruk. Dia dipijak-pijak, ditendang, dibelasah dan dihempuk dengan senapang hingga luka parah,” cerita Tok Teh Chad.
Jenaz4h orang Melayu dikapan dengan tikar
Jelas Tok Teh Chad, bukan setakat sumber makanan, malah kain dan pakaian juga susah untuk didapati ketika zaman pemerintahan Jepun.
“Kain baju susah nak dapat. Kalau Hari Raya lagi kesian. Budak-budak buat baju raya pakai kain perca sahaja. Baju yang saya pakai pula jangan cakaplah, bertampal sana sini. Nak beli kain tak boleh sebab barang tak ada. Jadi, pakai sahajalah apa yang ada dalam robok.
“Bukan setakat tu, orang Melayu kita dulu kalau meninggal dunia dikapankan dengan tikar mengkuang. Balut tubuh jenazah dengan tikar, gulung, lepas itu terus tanam. Itu cara paling mudah. Nak buat macam mana, zaman tu memang susah,” ceritanya mengenang kembali detik-detik kesulitan semasa zaman pemerintahan Jepun.
Tok Teh Chad juga menceritakan bagaimana tentera Jepun ketika itu memperdaya anak muda Melayu untuk dijadikan sebagai buruh kasar bagi pembinaan landasan kereta api maut di Burma.
“Askar Jepun telah mengumpulkan ramai anak muda. Mereka cakap nak berikan kerja di Kuala Lumpur. Maka berebutlah anak-anak muda kampung menawarkan diri. Maklumlah, masa tu susah nak dapat kerja. Saya teringin juga nak ikut serta, tapi sebab umur terlalu muda iaitu 13 tahun, ayah tak bagi pergi.
“Semua yang mahu pergi kena beratur dan buka baju. Kalau susuknya kurus, Jepun akan tolak tepi. Tapi, abang ketiga saya, Ariffin bin Tamin telah dipilih oleh askar Jepun. Ketika itu dia berusia 18 tahun. Di daerah Gerik, yang dipilih ada lebih kurang 30 orang. Mereka dibawa ke Ipoh dengan menaiki trak.
“Rupanya ketika di Ipoh, mereka telah dipaksa untuk belajar membina landasan kereta api sebelum dihantar ke Siam dan Burma. Namun, Ariffin dan beberapa orang kawannya sempat melarikan diri daripada kawalan pihak Jepun. Beberapa hari selepas itu, dia balik semula ke Gerik dengan menumpang lori.
“Ayah saya terkejut tengok Ariffin balik semula ke rumah. Ayah cakap situasi ni bahaya sebab bila-bila masa saja Jepun akan datang ke rumah cari abang saya. Kalau kena tangkap, habislah! Ayah suruh Ariffin sembunyi di dalam hutan belakang rumah.
“Selang dua tiga hari selepas tu, pegawai tinggi Jepun datang ke rumah kami waktu tengah malam untuk cari Ariffin. Habis rumah kami kena geledah. Setiap pelosok mereka cari, tapi tak jumpa. Askar Jepun tu pesan, kalau mereka dapat tangkap Ariffin, kepalanya akan dipancung,” katanya sambil mengacungkan tangan ke leher.
Sebagai langkah keselamatan, ayahnya telah mengarahkan Ariffin untuk lari dan pergi bersembunyi di tempat lain. Abangnya kemudian pergi ke Parit Buntar, Perak. Beliau berkahwin dan terus menetap di sana.
Bukan saja lelaki, orang perempuan juga tak selamat. Ramai di kalangan wanita tanpa mengira bangsa telah ditangkap oleh askar Jepun untuk dijadikan hamba seks.
“Orang perempuan zaman dulu disuruh kahwin awal. Mak bapa risau nak jaga anak dara sebab bimbang diculik Jepun. Bila dikahwinkan, risiko untuk diculik kuranglah sikit. Suami ada untuk lindungi isteri.
“Ramai juga anak dara yang conteng muka dengan arang supaya nampak buruk sebab takut dengan askar Jepun. Ada juga yang bersembunyi dalam sawah.
“Kalau ditangkap, mereka akan dihantar ke bandar, kem tentera atau pos kawalan untuk dijadikan hamba seks. Mereka akan dilanyak tanpa belas kasihan, dipaksa melayan nafsu serakah askar-askar Jepun ketika itu,” jelasnya.
Bila hendak merdeka?
“Satu lagi perkara yang orang Melayu tak suka kepada askar Jepun ialah orang kita disuruh hormat pada Maharaja Meiji sedangkan kat sini dah ada raja. Bila jumpa Jepun, kita kena tunduk hormat. Kalau tak buat, makan penampar Jepunlah jawabnya. Atau kepala dipancung dengan pedang samurai.
“Selepas itu kena menyanyi lagu ‘Kamigayo’ sambil berdiri tegak. Murid-murid sekolah juga dipaksa mempelajari bahasa Jepun sedangkan bahasa tersebut tidak laku di peringkat antarabangsa.
“Dari penghujung tahun 1941 hingga 1945, Jepun tak beri pun kemerdekaan pada Tanah Melayu. Mereka datang nak rompak hasil bumi dan dibawa balik ke negara asal mereka untuk membiayai peperangan. Warga Tanah Melayu ketika itu hanya bersikap tunggu dan lihat, tetapi kami sendiri tidak tahu bilakah peperangan ini akan berakhir,” ceritanya dengan wajah yang sedikit emosi.
“Hmm… budak-budak sekarang tak sempat merasai semua pengalaman tu. Sebab itulah mereka tidak bersyukur dengan nilai kemerdekaan. Tak macam orang zaman dulu, yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi.
“Kepada anak-anak di luar sana, jagalah keamanan yang kita ada sekarang. Jangan biarkan keamanan yang kita kecapi ini diragut kembali,” pesan Tok Teh Chad mengakhiri perbualan kami petang itu.
NOTA : Tok Teh Chad dalam kisah di atas ialah Arshad bin Tamin, tapi lebih dikenali sebagai Tok Teh Chad di kalangan penduduk kampung di Sungai Bakap, Pulau Pinang. Kisah di atas adalah berdasarkan temuramah kami dengan beliau beberapa tahun lalu. Ketika itu, Tok Teh Chad berusia 85 tahun dan merupakan seorang bekas guru. Sempena bulan kemerdekaan ini, semoga pesanan Tok Teh Chad tersemat di hati rakyat Malaysia supaya terus mempertahankan keamanan dan kedaulatan tanah air, hasil daripada jerit perih dan perjuangan titisan darah orang terdahulu.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.