SUATU hari, tujuh orang pemuda pergi ke pasar. Mereka lalu mengisytiharkan bahawa kepercayaan mereka hanyalah kepada Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan yang menjadikan langit dan bumi, bukan berhala-berhala yang disembah dan dewa-dewi yang dipuja manusia dan masyarakatnya.
“Kaum kami ini telah mengambil sesembahan-sesembahan selain Dia. Mereka tidak mengajukan alasan yang terang (tentang keyakinan mereka?) Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?”
Selanjutnya pemuda-pemuda itu berkata lagi kepada orang ramai di pasar. “Rabb (Tuhan) kami adalah Rabb langit dan bumi, kami sekali-kali tidak akan menyeru Rabb selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang jauh.”
Sebaik mengisytiharkan keimanan mereka, perisik-perisik Maharaja Decius yang memerintah empayar Rom telah melaporkan kejadian tersebut kepada baginda.
Lalu serta-merta, Maharaja Decius memerintahkan tujuh pemuda tadi dibawa segera ke istana. Baginda lalu memberi tempoh selama tiga hari kepada tujuh pemuda tadi sama ada kembali kepada agama asal menyembah berhala atau dijatuhi hukuman bunuh.
Lalu tujuh pemuda beriman pun berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”. (Al-Kahfi : 10)
Akibat terlalu takut ditangkap dan diseksa, tujuh pemuda berkenaan bersepakat melarikan diri ke sebuah gua tidak berapa jauh dari kota berkenaan, diikuti oleh seekor anjing bernama Kithmir.
Gua itu cukup luas dengan pintu menghadap ke utara sehingga sinar matahari tidak mampu menerobos ke dalamnya. Setelah merasa selamat dari bahaya ditangkap atau dibunuh Maharaja Decius, tujuh pemuda tadi pun berbaring merehatkan diri, lantas kesemuanya tertidur termasuk anjing yang menjaga keselamatan mereka. Sebaik mereka terbangun mereka tertanya-tanya.
“Berkatalah salah seorang dari mereka: ‘Sudah berapa lama kamu menetap (di sini)?’ Mereka menjawab: ‘Kita tinggal di sini sehari atau setengah hari.’ Yang lain berkata pula: ‘Rabb (Tuhan) kamu lebih mengetahui berapa lamanya kamu berada (di sini). Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota membawa wang perakmu ini…” (Al-Kahfi : 19)
Kisah itu dikatakan berlaku pada zaman pemerintahan Maharaja Dikyanus (Decius) sekitar tahun 249 sehingga 251 Masihi dan pemuda-pemuda itu terjaga 309 tahun kemudian pada zaman pemerintahan Maharaja Theodosius II yang beragama Nasrani (Kristian).
Persoalan yang timbul di sini, berapa lamakah tujuh pemuda tadi termasuk seekor anjing tertidur dalam gua tersebut?
Al-Quran ada menyebut: “Mereka tinggal dalam gua itu selama tiga ratus tahun dan ada yang menambah sembilan.” (Al-Kahfi : 25)
Menurut penulis buku Kehebatan Susunan al-Quran, Profesor Madya Dr. Arip Kasmo, ayat ke-25 surah al-Kahfi ini boleh dianalisis untuk menentukan ketepatan kisah yang diceritakan oleh al-Quran tentang berapa lamakah tujuh pemuda beriman ini telah tertidur dalam gua tersebut.
Dr. Arip menegaskan bahawa al-Quran sendiri boleh mengesahkan satu peristiwa yang berlaku lebih kurang 200 tahun selepas kelahiran Nabi Isa atau lebih kurang 400 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.
Mengikut ukuran tahun Syamsiah 100 tahun bersamaan dengan 103 Hijrah. Berdasarkan pengiraan yang telah dibuat menunjukkan bahawa 300 tahun Masihi sama dengan 309 tahun Hijrah.
“Kebenaran kisah ini dibuktikan berdasarkan ketepatan persamaan antara 300 tahun Masihi dengan 309 Hijrah,” jelasnya.
Dr. Arip juga menerangkan satu lagi bukti jelas al-Quran tentang lamanya masa tujuh pemuda berkenaan tertidur boleh dikira berdasarkan bilangan perkataan dari permulaan ayat ke-8 dalam surah al-Kahfi.
“Kalau kita kira bermula dari ayat ke-8 iaitu perkataan am sehingga perkataan tisaa dalam ayat ke 25, jumlahnya ialah sebanyak 309 patah perkataan. Adakah fenomena ini secara kebetulan saja? Tidak! Allah telah menetapkan bahawa al-Quran itu wahyu yang benar, suatu mukjizat dan bukan rekaan manusia atau Nabi Muhammad!” terang Dr. Arip lagi.
Kisah yang turut diceritakan dalam al-Quran ini juga dikenali sebagai ‘Ashabul Kahfi’ (penghuni gua).
Berkaitan lokasi gua tersebut, ada perdebatan mengenainya. Terdapat beberapa lokasi dikatakan adalah gua di mana tujuh pemuda itu ditidurkan. Pertama, sebuah gua di Epsus, satu kota lama di Turki sekitar 73 km dari kota Izmir. Lokasi kedua di Gua al-Batra’ di Palestin. Dan ketiga, Gua Rajib yang terletak lapan kilometer dari kota Amman, Jordan. Namun, pendapat ketiga iaitu lokasi di Jordan dikatakan adalah yang paling hampir dengan ciri-ciri yang diceritakan di dalam Al-Quran.
Namun begitu, lokasi gua Al-Kahfi ini bukanlah perkara utama yang hendak dibahaskan. Apa yang penting ialah pengajaran yang harus kita teladani berdasarkan peristiwa ini.
Dalam HR Muslim dan Abu Daud, Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa sesiapa yang menghafal 10 ayat terawal surah Al-Kahfi, maka dia akan terpelihara daripada fitnah Dajjal.
Sumber Pedoman Iktibar
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.