Berusia sembilan tahun, Tuan Nur Afrina Sofia hilang nikmat penglihatan. Tiada lagi ubat dan rawatan, perkongsian pendakwah, Ustazah Asma’ Harun tentang si kecil yang sedang menunggu saat untuk ‘pergi’ ini benar-benar menyentuh hati.
Tuan Nur Afrina Sofia atau mesra disapa Sofia merupakan anak jiran mentuanya Ustazah Asma’ yang tinggal di Besut, Terengganu.
Si kecil yang telah buta kedua-dua belah mata kerana kanser saraf atau neuroblastoma rupanya menyimpan hasrat untuk bertemu beliau.
“Allahuakbar, petang yang sarat dengan deraian air mata. Ziarah anakanda Tuan Nur Afina Sofea.
“Mama Sofea cerita bahawa akhir-akhir ni Sofia kerap beritahu mahu berjumpa ustazah yang dimaksudkannya ialah saya.
“Sebab itu bila saya masuk sahaja ke rumah ini tadi semua berkata, “akhirnya Sofea dapat jumpa ustazah, ustazah dah datang ni.” . Tetapi Sofia sudah tak boleh melihat ustazah lagi, kedua matanya telah buta sedangkan pada bulan lepas masih boleh melihat lagi,” kongsi Ustazah Asma’ dalam nada sayu.
Tidak seperti kanak-kanak lain yang menikmati keriangan zaman kanak-kanak, si kecil itu menderita pelbagai komplikasi kanser saraf.
Tiga tahun berlalu, kini dunianya semakin malap kerana keupayaan melihat yang terhad. Malah matanya terpaksa ditampal kain bagi mengelakkan bola mata yang tersembul menimbulkan kesakitan.
“Ia (kanser saraf) bermula pada hujung tahun 2020, ketika itu umur Sofia enam tahun. Kini umurnya sudah sembilan tahun. Sudah tiga tahun Sofia diuji kanser ini dan menunggu saat pergi. Tiada lagi ubat atau rawatan untuk tahap dan kanser jenis ini.
“Sofia tak berhenti mengesat matanya, rupanya itu yang terjadi apabila dia menangis. Air mata tidak boleh keluar lagi lalu matanya menjadi pedih.
“Daripada tampalan penutup mata yang terselak, saya boleh lihat kedua mata putih Sofia telahpun tersembul keluar. Kelopak matanya tidak boleh ditutup lagi. Oleh sebab itu, matanya ditutup dengan kapas bagi mengelakkan rasa pedih apabila terdedah kepada udara,” kongsinya.
Tersentuh melihat keadaan Sofia, Ustazah Asma’ terus memberikan kata-kata semangat buat anak syurga itu.
“Saya menarik nafas dalam dan mula berbicara. Kata saya, “Sofia insya-ALLAH akan sembuh dan boleh melihat semula, kita semua mendoakan buat Sofia.
“Insya-ALLAH jika ALLAH ingin berikan kesembuhan, Allah Maha Berkuasa..” Sofia angguk-angguk sambil menyebut insya- ALLAH.
“Saya menyambung, ”Sofia bakal ahli syurga kerana tiada dosa. Masih kecil baru sembilan tahun, Sofia telah diuji sakit begini, setiap hari ALLAH bersihkan Sofia. Sofia insya-ALLAH dijamin syurga, bahkan ketika di alam barzakh telah mendapat nikmat taman syurga,” kongsi Ustazah Asma’ tentang dialognya bersama Sofia.
“Ustazah, Sofia ada dosa. Sofia berdosa dengan Mama,sebab bilatak nampak ni kadang-kadang Sofia ada marah mama bila lambat. Sofia boleh ke masuk syurga ? Kalau Mama maafkan Sofia bolehlah kan masuk syurga?
“Allahuakbar, saat itu semua yang ada di ruangan tersebut menangis. Saya sudah hilang suara menahan esakan.Mulianya hati wahai anak. Saya cuba menyusun kata-kata.
“Sofia, antara kita semua disini, Sofia paling baik, paling mulia, Sofia yang ALLAH pilih untuk ujian yang sangat berat ini, sebab Allah tahu Sofia kuat”
“Mama Sofia dan kita semua faham bila Sofia marah-marah sikit sebab Sofia sedang menahan sakit, tak boleh berjalan dan melihat. Sofia terpaksa bergantung pada semua orang. Sofia rasa gelap dan takut.
“Semua orang faham dan kami semua menumpang Sofia sekarang ni, mama, ustazah dan kami semua harap dapat masuk syurga bersama Sofia. Nanti nanti cari dan tarik kami sama-sama masuk syurga ya,” kongsinya.
Ibu Sofia meluahkan selalu memaafkan anak syurganya, malah baginya si kecil itu tiada salah.
Wanita itu juga memaklumkan enam pesakit kanser saraf kanak-kanak semua sudah kembali ke rahmatullah kecuali dua orang termasuk Sofia.
Katanya, doktor yang merawat sebenarnya menjangkakan Sofia hanya ada masa dua bulan selepas kimoterapi terakhir. Namun kini sudah lebih setahun, si kecil itu sangat kuat, bahkan lebih matang daripada kakaknya.
Jiran-jiran memberitahu si kecil itu kanak-kanak yang cergas, bijak dan ramah. malah bapa mentua Ustazah Asma’ pun bercerita, jika bertemu sahaja di tengah jalan atau nampak dari jauh, Sofia akan memanggilnya Pak Long. Biarpun masih kecil, dia mesra dan tidak takut menegur orang yang lebih tua.
“Ya ALLAH, sungguh matang dan pandai menyantuni semua, cerdik ! Saya sungguh jatuh hati jatuh sayang Tuan Nur Afrina Sofia. Saya mohon sahabat semua, doakan anak ini.
“Saya juga mohon jika ada doktor perubatan yang membaca nukilan ini, atau kenalan lalu sampaikan. Adakah benar barah peringkat adik Sofia ni dah tak ada peluang sembuh ?, maksudnya memang hanya menghitung hari?” kongsinya.
Mengimbas kembali awal tahun 2020, pendakwah itu rupanya pernah bertemu dengan Sofia.
“Ketika itu dia berdiri di sebelah dan saya memeluknya. Dalam gambar itu saya duduk di atas kerusi, sebab itu semua anak-anak jadi nampak sama ketinggian.
“Saya masih ingat, waktu ni Sofia berumur enam tahun. Sofia yang berani menegur saya. Katanya “Ustazah Asma’, Ustazah dalam telefon.” Oleh kerana sapaAnnya, saya keluar daripada kereta, mengajak semua bergambar dan memberikan wang RM5 setiap seorang.
“Rupanya Sofia selalu ingat momen itu dan disebut-sebut. Ustazah baik, ustazah bagi RM5. Begitulah cerita Mama Sofia tadi.
“Kecil bagi kita, rupanya besar maknanya buat anak kecil, lagi apabila anak orang susah,” kongsinya.
Warga maya turut meluahkan simpati menyaksikan paparan keadaan Sofia. Masing-masing mendoakan kesembuhan buat anak kecil itu.
– “Sebak baca nukilan ustazah tentang adik ini. Moga ALLAH SWT memngurniakan kekuatan fizikal, kesembuhan dan kemudahan buat Sofia. Sesungguhnya aku memohon dengan izin-MU Ya ALLAH.”
– “Ya ALLAH, kurniakan keajaiban buat Sofia. Kurniakan syifa kesembuhan dan kesihatan yang kembali sihat seperti sediakala. Permudahkanlah segala urusan adik Sofia sekeluarga. Aamiin”
– “Tidak terucap dengan kata-kata sedihnya. Syurga buat mu adik Sofia. Semoga ada keajaiban dan dia sembuh seperti anak-anak yang lain, aminn.”
– “Syafakillah Adik Sofia. Semoga ALLAH menganugerahkan kesihatan dan kekuatan yang terbaik.”
Sumber FB Ustazah Asma’ Harun
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.