Jasadnya Masih Utuh Walau Sudah Ribuan Tahun M4ti, Ini Mumia Manusia Paling Sempurna Dalam Sejarah

 

Pada tahun 1971 sewaktu sekumpulan pekerja sedang menggali di sebuah kawasan perlindungan serangan udara berdekatan Changsha, China, mereka dikejutkan dengan penemuan sebuah makam purba yang amat besar.

Makam itu terletak dalam sebuah liang yang luas, ditanam sedalam 12 meter. Mumia yang ditemui di dalam makam itu dikenali sebagai Lady Dai dan diiktiraf sebagai mumia manusia paling terpelihara pernah ditemui dalam sejarah.

Dengan bantuan lebih 1,500 orang pelajar tempatan, ahli arkeologi memulakan proses cari gali secara besar-besaran di makam ini bermula pada Januari 1972. Para pengkaji menganggarkan makam itu berusia lebih 2000 tahun.

Mumia Lady Dai sewaktu pertama kali ditemui. Jasadnya berada dalam keadaan sempurna walau sudah dua ribu tahun disemadikan.

Hasil kajian mendapati, kubur utama itu adalah milik Xin Zhui, atau lebih dikenali dengan gelaran Lady Dai yang merupakan isteri kepada Li Cang, salah seorang daripada pemerintah sewaktu zaman Dinasti Han. Dua lagi keranda yang ditemui di situ dipercayai milik suami dan juga anak Lady Dai.

Kubur di mana jasad Lady Dai ditemui merupakan satu hasil kerja yang dilakukan dalam keadaan cermat dan berhati-hati. Ia terletak 12 meter di bawah tanah dan di kunci dalam empat lapisan keranda. Keranda itu pula diletakkan dalam sebuah kubu yang berbentuk corong dan ditutup dengan tanah liat setebal satu meter.

Sewaktu ditemui, jasad Lady Dai kelihatan seperti manusia yang baru meninggal dunia. Jasadnya dibalut dengan 20 lapisan kain sutera, direndam dalam 80 liter cecair yang tidak diketahui dengan jelas isi kandungannya.

Ketika ditemui, kulit mumia wanita ini masih lembut dan lembap. Rambut aslinya masih terpelihara, bahkan bulu hidung, kening dan matanya juga masih ada. Organ dalamannya juga masih utuh dan pembuluh darahnya juga masih jelas di mana kajian mendapati Lady Dai berdarah jenis A. Sendi-sendi badannya juga masih boleh digerakkan.

Jasad Lady Dai ketika dikaji.
Jasad Lady Dai yang kini dipamerkan di muzium.

Namun, apa yang digambarkan itu tidak dapat dilihat sedemikian rupa pada hari ini. Sewaktu dikeluarkan dari makamnya, oksigen telah ‘memakan’ badan Lady Dai dengan sangat cepat menyebabkan keadaan mumia itu mulai ‘memburuk’ berbanding dengan keadaan asal sewaktu ia ditemui di dalam kuburnya.

Mumia tidak terurai

Salah satu persoalan yang menjurus kepada kajian ialah bagaimana mumia wanita ini boleh terpelihara begitu sempurna. Jasadnya sewaktu ditemui seperti baru sahaja meninggal dunia, sedangkan sudah ribuan tahun dia disemadikan. Jawapannya ialah pada ketelitian pembinaan makamnya.

Kerja-kerja pengebumian Lady Dai dilakukan dengan sangat teliti. Tiada objek asing yang mampu menembusi kubu sedalam 12 meter itu. Bahkan, bakteria yang menyebabkan pereputan juga tidak mampu untuk menjalankan tugas mereka di dalam keranda tersebut kerana kekurangan oksigen.

Lakaran kawasan makam yang menempatkan jasad Lady Dai.
Keranda Lady Dai.

Keranda Lady Dai dimasukkan ke dalam keranda paling kecil di antara empat buah keranda lain membuatkan kerandanya berada pada kedudukan paling dalam. Selain tanah liat, lima tan arang hitam yang mampu menyerap lembapan diletakkan di sekeliling kubu tersebut.

Proses pemakaman itu mampu menghalang oksigen dan bakteria memasuki ruang kubur, menyebabkan mumia wanita itu dapat dielakkan daripada mengurai.

Ahli arkeolgi yang membuat kajian mengenai Lady Dai mengatakan wanita itu mati sekitar tahun 178 hingga 145 Sebelum Masihi ketika berusia 50 tahun kerana serangan jantung.

Hasil bedah siasat mendapati kesemua organ dalaman Lady Dai masih lagi utuh. Terdapat darah beku yang dijumpai pada saluran darahnya membuktikan Lady Dai mempunyai masalah jantung dan juga beberapa jenis penyakit lain seperti darah tinggi, kencing manis dan tahap kolesterol yang tinggi dalam darah selain penyakit batu karang.

Pasukan forensik sepakat mengatakan punca kematian Lady Dai kerana serangan sakit jantung. Lady Dai juga dipercayai seorang yang obes, kurang bersenam dan tidak mengamalkan diet seimbang.

Sewaktu para pengkaji menjalankan ujian pada bahagian esofagus Lady Dai, mereka berjaya menjumpai lebih 138 biji tembikai yang tidak terhadam. Menurut saintis yang terlibat, biji tembikai mengambil masa satu jam untuk dihadam, jadi mereka membuat kesimpulan Lady Dai meninggal dunia tidak lama selepas memakan buah tembikai.

Keadaan jasad Lady Dai yang masih kelihatan baik walau sudah ribuan tahun disemadikan.
Gambaran wajah Lady Dai (kanan) semasa hidup.

Barang-barang lain yang ditemui dalam kerandanya menandakan Lady Dai seorang yang berpengaruh sewaktu hidup. Lebih 1,000 artifak lain ditemui dalam makamnya. Antaranya peralatan dandanan, ratusan pasu dan piring, ukiran kayu yang mewakili orang suruhannya, lengkap dengan almari yang mempunyai 100 jenis persalinan.

Lady  Dai juga disemadikan dengan pelbagai jenis makanan mewah yang disimpan rapi dalam 30 bekas yang diperbuat daripada buluh. Antaranya gandum, daging angsa, itik, ayam, ikan, telur dan pelbagai jenis makanan lagi.

Walaupun persoalan bagaimana jasad Lady Dai masih lagi kekal utuh setelah lebih dua ribu tahun dikebumikan telah terjawab, para saintis masih gagal meniru cara yang serupa sehingga ke hari ini.

Kajian demi kajian dilakukan untuk mengetahui sumber cecair ‘misteri’ yang dijumpai bersama dengan Lady Dai yang membantu mengawetkan mayat sebaik begitu. Malahan terdapat beberapa jasad lain yang dijumpai berhampiran dengan makam Lady Dai ditemui mengandungi cecair yang berbeza dalam setiap keranda mereka.

Apa juga teknik yang digunakan oleh kaum terdahulu untuk mengawet jasad Lady Dai, ia ternyata berkesan dan masih tidak dapat dirungkai sehingga ke hari ini. Jasad Lady Dai kini disimpan untuk tatapan umum di muzium daerah Hunan di China.  

Sumber Infiniti

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.