Untung Nasib Manusia Bukan Terletak Pada Nama & Tarikh Lahir, Semuanya Adalah Rahsia Allah SWT

 

Menurut Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, IPGM Kampus Pendidikan Islam Bangi, Md. Zuraini Mashrom, orang biasa seperti kita memang ada mendapat lintasan-lintasan atau firasat tetapi sukar untuk membezakannya datang dari Allah ataupun syaitan.

Akan tetapi orang beriman yang hubungannya dekat dengan Allah, makan minum dijaga, ibadatnya dijaga, semuanya dijaga mereka memang mendapat karamah dari Allah. Itulah yang Rasulullah s.a.w kata bahawa orang beriman itu melihat dengan pandangan Allah.

Tambahnya lagi, mungkin orang beriman itu mendapat petunjuk dari Allah untuk memilih nama atau amalan yang sesuai bagi seseorang yang datang kepadanya dengan masalah.

Di dalam disiplin ilmu pengiraan huruf dan nombor ada formulanya. Ia berlainan dengan ilmu firasat yang tidak ada formulanya untuk membuat kiraan nama dan tarikh lahir. Yang jelasnya, ilmu huruf dan penomboran bukan berasal daripada disiplin ilmu tasawuf. Mungkin berlaku asimilasi atau adaptasi ilmu tersebut daripada disiplin ilmu lain, akhirnya ia dilihat sebagai cabang teras daripada ilmu Islam.

“Saya melihatnya begini, apabila ia kembali kepada kepercayaan kita perlu buat satu garis pemisah yang jelas. Bahasa mudahnya begini apabila kita percaya ada sesuatu benda yang boleh memberi manfaat dan mudarat pada masa akan datang kemudian kita pegang kepercayaan itu maka ia akan jadi syirik.

Kalau kaedah huruf dan nombor tadi digunakan untuk mengatasi masalah dan rintangan yang bakal mendatang atau yang sudah berlalu dengan zikir. Melalui zikir itulah keseimbangan akan tercapai dan kita mampu menghadapi semua rintangan, halangan yang mendatang .

Kalau begitu tujuannya memang boleh. Tetapi yang menjadi masalahnya apabila kita cipta satu sistem atau perkiraan nombor dan huruf yang boleh menentukan nasib baik dan buruk masa depan, itu tidak boleh. Ia boleh termasuk di dalam syirik,” terangnya.

Disesuaikan dengan zikir nama Allah

Bagaimana pula jika daripada perkiraan nama-nama itu maka ia disesuaikan dengan zikir nama-nama Allah untuk diamalkan oleh seseorang. Adakah perkiraan itu boleh diterima pakai untuk menentukan zikir yang khusus?

Menjelaskan hal itu pula, Zuraini menyoal, adakah perkiraan itu mengambil kira tentang ramalan masa depan seseorang? Jika hal itu berlaku, memang sudah jelas tidak boleh kerana ia termasuk sebahagian daripada cabang syirik.

Soalnya kembali, bagaimana orang yang mempraktikkan ilmu huruf itu mengetahui apa yang akan berlaku kepada orang lain sedangkan ia rahsia Allah?

Apa penjelasan terhadap perkara itu? Jawab Zuraini, melalui angka-angka itu dicipta satu disiplin tersendiri dan akhirnya ia menjadi satu sistem kepercayaan. Jika sudah menjadi kepercayaan maka ia akan berkait dengan akidah. Apabila bersangkut pada akidah maka syariat adalah pertimbangannya untuk menentukan ia boleh atau tidak. Jika ada masuk campur ramalan maka ia tidak boleh.

Halnya, berlainan pula kalau disuruh amalkan zikir itu untuk hidup yang lebih baik supaya jauh daripada bencana dan mudah mendapat kejayaan. Di dalam situasi itu tidak disentuh langsung tentang ramalan masa depan, zikir yang diamalkan hanya untuk memperbaiki keadaan hidup maka ketika itu ia dibolehkan.

Tambah Zuraini, ilmu penomboran memang ada tapi adakah mengamalkannya dibenarkan oleh syariat. Mana-mana ilmu yang ada asas tilikan nasib dan ramalan masa depan maka ia tidak boleh dan termasuk di dalam cabang syirik.

Sebabnya yang mengetahui tentang rahsia diri kita hanya Allah saja. Bila kita menyingkap rahsia Allah dengan mencipta disiplin ilmu yang begitu memang Allah akan beri tapi adakah jalan itu dibenarkan. Itulah prinsip kita sebagai orang Islam.

Ujarnya, baik buruk nasib seseorang adalah ketentuan Allah. Kita hanya boleh mengkaji sebab dan akibatnya berdasarkan kajian kes yang pernah berlaku terdahulu. Dari pemerhatian itu dibuat andaian jika berlaku sesuatu yang seperti itu maka penyelesaiannya begini. Kita bersandarkan kepada andai sebab berlaku sesuatu dan bukannya menggunakan satu sistem tiIikan atau ramalan nombor.

“Disiplin ilmu tasawuf itu adalah membawa manusia lebih dekat kepada Allah melalui satu jalan lurus yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Orang yang melalui jalan tasawuf kena melalui praktis tasawuf kerana ada orang yang belajar tetapi tidak mempraktikkannya maka ia hanya mendapat ilmunya saja dan tidak mendapat hakikat daripada tasawuf itu sendiri.

“Mungkin juga orang yang mengaitkan ilmu huruf dengan tasawuf mempunyai niat yang baik iaitu hendak membawa manusia agar lebih dekat dengan Allah supaya mereka tahu jika buat begini maka nasibnya akan jadi begini.

Beramal dengan perkara begitu supaya dia akan menjadi lebih baik. Walaupun tujuannya sama tetapi kaedahnya tidak betul. Kaedah untuk mengenal nasib baik, buruk seseorang itu melalui angka, tidak betul.

“Memang benar di dalam Islam ada perbahasan huruf hijaiyyah sebagai pembukaan sesuatu ayat seperti alif lam mim, Ya sin dan sebagainya. Di dalam kitab tafsir Imam Fahkrul Radzi, setiap huruf itu ada makna dan tujuannya kerana Allah tidak turunkan sesuatu dengan sia-sia.

Cuma sebahagian orang mengetahui dan sebahagian yang lain tidak mengetahuinya. Mengetahui rahsia bagaimana untuk mengambil manfaat rahsia pembukaan surah itu tapi bukannya untuk menilik masa depan,” terangnya.

Sumber Kisah Ghaib

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.