Pada lazimnya, kaum lelaki akan membuang air kecil sambil berdiri. Bahasa mudahnya, kencing berdiri. Nampak ia perkara kecil, namun sebenarnya ia turut dibincangkan dalam komuniti saintifik.
Seorang pengamal perubatan di Ayurveda Medical menjelaskan bahawa kencing berdiri tidak baik untuk kesihatan lelaki kerana perbuatan sedemikian boleh menyebabkan sakit belakang, hilang tenaga dan mudah letih.
Rasa kurang selesa itu terjadi disebabkan orang yang membuang air kecil sambil berdiri, air kencing mereka tidak akan keluar habis. Bermakna, lima hingga 10 peratus urin masih ada dalam sistem pundi kencing dan baki yang tertinggal ini lama kelamaan akan terenap. Endapan itu akhirnya mengeras menjadi batu karang dan menimbulkan beberapa masalah lain seperti lemah syahwat dan mati pucuk.
Berbeza pula kesannya apabila seseorang itu kencing sambil duduk atau mencangkung. Satu kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Leiden University Medical Center di Belanda, mendapati lelaki yang mengamalkan cara membuang air kecil seperti itu akan dapat mengosongkan sepenuhnya pundi kencing mereka, mengurangkan kanser prostat dan dapat mengekalkan gaya hidup lebih sihat secara keseluruhannya.
Kajian yang diterbitkan dalam Jurnal PLOS ONE mendedahkan, kencing dalam postur duduk bukan sahaja membolehkan otot pelvis dan pinggul berada dalam keadaan tenang, bahkan dapat mengurangkan tekanan pada uretra, iaitu tiub air kencing yang membawa cecair itu keluar dari badan.
Justeru, golongan lelaki terutama penghidap saluran kencing lebih rendah (LUTS) yang berbuat demikian akan dapat membuang air kecil dengan lebih baik, cepat, dan mudah keluar pada tekanan yang lebih tinggi berbanding kencing berdiri.

Pada masa ini, terdapat satu pertiga daripada lelaki memilih untuk kencing duduk. Dilaporkan, sebanyak 30 peratus lelaki Jepun turut menjadikan postur duduk sebagai amalan semasa membuang air kecil. Negara Sweden dan Taiwan juga nampaknya mengikut jejak dengan menggalakkan kaum lelaki di sana untuk berbuat perilaku sopan itu.
Kesedaran negara-negara terbabit tentang soal posisi membuang air kecil ini didasari isu kesihatan awam. Agensi Perlindungan Alam Sekitar Taiwan sebelum ini telah menjalankan pemeriksaan ke atas 100,000 buah tandas awam dan mendapati membuang air kecil sambil berdiri menyebabkan berlaku percikan air kencing serta bau hancing yang teruk. Jika tidak diatasi, keadaan tandas kotor itu boleh menjadi medium pertumbuhan bakteria dan penyebaran penyakit.
Umat Islam pula disarankan supaya membuang kotoran tubuh dengan cara yang betul, berhemah dan sesuai dengan peraturan. Bahkan, tuntutan ini juga bukanlah sesuatu yang baru dalam Islam, tetapi ia telah pun disampaikan sejak lebih 1,400 ribu tahun dahulu lagi.
Dalam sebuah hadis telah disebut oleh isteri baginda Nabi Muhammad s.a.w, Aisyah r.a: “Sesiapa yang menceritakan kepada kamu bahawa Nabi pernah kencing berdiri, maka janganlah kamu mempercayainya, tidaklah baginda kencing melainkan dengan duduk.” (HR at-Tirmizi)
Pengamalan Nabi ialah kencing secara duduk, khususnya apabila berada di rumah. Mengapakah baginda menjadikan perilaku membuang air kecil sambil duduk sebagai satu amalan?
Dari segi hukum, perbuatan kencing berdiri tidak haram berdasarkan beberapa peristiwa Nabi pernah dan terpaksa berdiri atas sebab-sebab tertentu berkaitan kesihatan serta keadaan persekitaran.
Menurut pandangan mazhab Syafii, hukum kencing berdiri adalah makruh apabila dilakukan tanpa keuzuran. Namun begitu, ada beberapa perkara perlu difahami dan diteliti sebab-sebab perbuatan itu makruh dari sudut syarak. Paling utama ialah bab membuang air kecil ini diletakkan dalam bab bersuci dalam majoriti kitab hadis.
Air kencing adalah bersifat najis. Salah satu syarat sahnya solat adalah bersuci dari hadas kecil serta hadas besar. Dalam hal ini, umat Islam sedia maklum bahawa kesucian pakaian merupakan salah satu syarat untuk sahnya solat yang kita dirikan. Perbuatan membuang air kecil dengan tidak berhati-hati boleh menyebabkan percikan air kencing terkena pada pakaian, seterusnya menghilangkan kesucian pakaian yang akan digunakan ketika solat. Implikasinya amat besar iaitu solat menjadi tidak sah.
Seperti mana dinyatakan dalam ayat al-Quran, bermaksud “Dan pakaianmu (maka) sucikanlah.” (Surah al-Muddatstsir, ayat 4)
Walaupun hukumnya makruh, kencing secara duduk ini ialah pilihan yang terbaik kerana itulah kelaziman Nabi. Apatah lagi, sains kini telah membuktikan bahawa postur kencing duduk memberi efek kesihatan yang lebih baik berbanding kencing sambil berdiri.
Sumber Utusan TV
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Nasihat Media tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.