Kasih sayang antara seorang datuk dan cucu ini mengundang sebak. Ditakdirkan sehidup semati, Azmi Abdullah, 77, dan Muhammad Ziyaad Mikhail, setahun tujuh bulan kembali kepada Maha Pencipta dalam sebuah kolam lama berdekatan restoran ikan bakar di Taman Kempas, Sungai Petani, Kedah.
Lebih memilukan, si kecil berkenaan adalah zuriat yang dinanti-nantikan oleh ibu bapanya, Zarina Azmi, 34, dan suami, Muhammad Yuzarith Martin Abdullah, 35.
“Sembilan tahun saya tunggu kelahirannya, namun dia ‘pergi’ dahulu,” luah Zarina.
Besarnya ujian apabila kehilangan dua insan tersayang sekelip mata, Zarina pasrah dengan ketentuan ALLAH yang meminjamkan cahaya mata kesayangan, Muhammad Ziyaad Mikhail seketika biarpun telah sembilan tahun menanti kehadiran cahaya mata.
Menurut Zarina, sepanjang hari Isnin, si kecil itu memeluknya sahaja seolah-olah tidak puas bermanja sebelum bapa tiba di kedai makan tempatnya bekerja untuk mengambil bayi itu kira-kira jam 5 petang.
Namun, tak lama kemudian ibu berkenaan dikejutkan dengan berita datuk dan cucu itu ditemukan lemas di kolam berhampiran.
Datuk penyayang, Azmi adalah pesara kerajaan yang dahulunya bekerja sebagai tukang kebun.
Adiknya, Yusof Abdullah, 61, berkata warga emas itu sudah lama bersara dan menghabiskan masa di rumah selain bermain dengan cucu dan menjadi rutin membawa cucunya itu meronda waktu petang dengan menaiki motosikal.
Menurut Yusof, abangnya mempunyai lima orang anak dan 10 cucu. Muhammad Ziyaad Mikhail dan ibu bapa tinggal serumah dengan Azmi.
Dakwanya, kemungkinan Azmi yang ternampak cucunya jatuh terus berlari ke arah kolam dan cuba menyelamatkan, namun turut lemas.
“Kalau tengok keadaan kolam itu, airnya tak dalam mana pun tapi mungkin disebabkan licin akibat lumut, arwah tidak berdaya nak selamatkan diri.
“Apapun yang berlaku, semuanya sudah suratan takdir dan kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya.
Menurut Yusof, Azmi mempunyai lima anak serta 10 cucu dan Muhammad Ziyaad Mikhail serta ibu bapanya tinggal bersama.
Jenazah kedua-dua beranak itu kemudian dibawa pulang ke rumah mereka di Kampung Permatang Berangan, Pinang Tunggal selepas selesai urusan bedah siasat untuk proses pengebumian.
Berikut adalah kronologi tragedi yang menimpa datuk dan cucu berkenaan:
1-Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa berusia 77 tahun bersama cucunya dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Permatang Berangan, Pinang Tunggal ketika kejadian.
2- polis menerima maklumat pada jam 7.20 petang menerusi panggilan MERS 999 yang memaklumkan terdapat dua mangsa dilihat terapung dalam kolam terbabit.
3- Timbalan Ketua Polis Balai Tikam Batu bersama lima anggota tiba di tempat kejadian pada 7.28 petang dan mendapati mangsa terapung dalam kolam yang ditinggalkan sedalam satu meter. Mangsa bagaimanapun telah dikeluarkan dengan bantuan orang awam.
4- Saksi yang merupakan pekerja restoran ikan bakar menyatakan ternampak orang ramai berkumpul di kawasan kolam lama tersebut dan apabila menghampiri mendapati ada dua mangsa lemas seterusnya membuat panggilan kecemasan.
5-Temu bual bersama bapa bayi berkenaan, Muhammad Yuzarith Martin berkata si kecil itu selalu dibawa datuknya berjalan-jalan setiap petang selepas diambil daripada ibunya yang bekerja di sebuah kedai makan di Jalan Kempas.
6- Sehingga jam 7 petang, dia mendapati kedua-duanya belum pulang menyebabkannya membuat carian di sekitar kawasan sebelum ternampak orang ramai berkumpul dekat kolam. Apabila sampai, didapati kedua-duanya sudah terapung.
7- Pemeriksaan ke atas mangsa dan tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah
Warga maya rata-rata menzahirkan simpati dan mendoakan agar keluarga ini dikurnia ketabahan. Ujar mereka:
– “Besarnya ujian puan, saya anak tak sihat pun sudah rasa sedih.”
– “Moga Puan tabah, pastinya ALLAH akan menggantikan yang hilang. DIA tak akan uji hamba-Nya, diluar kemampuan.”
– “Allahuakbar innalillahiwainnilaihirojiun, salam takziah, moga puan dan keluarga tabah
– “Innalillahiwainnailaihirojiun. Semoga ibu ayah kuat dan tabah.”
– “Salam takziah buat keluarga ini, kehilangan dua orang tersayang sekelip mata. Moga terus kuat.”
Sumber Sinar Harian
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.